Neelofa seronok dapat baju, kasut sekolah

Neelofa antara penerima set bantuan persekolahan yang disampaikan oleh Abdul Rahman (kiri) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lipis pada Jumaat.
Neelofa antara penerima set bantuan persekolahan yang disampaikan oleh Abdul Rahman (kiri) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lipis pada Jumaat.
A
A
A

LIPIS - Sesi persekolahan yang bermula awal bulan ini memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada 47 pelajar suku Bateq dari Parlimen Lipis termasuk seorang kanak-kanak bernama Neelofa susulan menerima set bantuan persekolahan menerusi program khas, Yik Panyit Sekolah.

Neelofa Johan, 7, dari Perkampungan Sungai Sekin antara murid yang dipilih untuk menerima set bantuan persekolahan berkenaan pada Majlis Penyerahan Set Bantuan Persekolahan Bagi Pelajar Orang Asli di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lipis pada Jumaat yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

“Saya sangat seronok kerana mendapat baju dan kasut baharu ini,” katanya yang merupakan murid dari Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kechau 1, Kuala Lipis.

Neelofa
Neelofa

Kebanyakan pelajar berusia antara 7 dan 17 tahun itu seronok dan teruja mendapat set bantuan persekolahan seperti baju, kasut dan sebagainya.

Beberapa pelajar yang ditemui turut mengakui bertuah kerana dipilih menerima bantuan yang diberikan dan tidak sabar untuk menggunakan pakaian baharu ke sekolah.

Selain Neelofa, set bantuan berkenaan turut diterima oleh lima rakannya yang lain.

Artikel Berkaitan:

Enam murid dari suku Bateq SK LKTP Kechau 1 menerima bantuan persekolahan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lipis pada Jumaat.
Enam murid dari suku Bateq SK LKTP Kechau 1 menerima bantuan persekolahan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lipis pada Jumaat.

Seorang lagi pelajar, Khairul Jusoh, 13, pula berkata, sesi persekolahannya pada tahun ini tambah bermakna dengan adanya set persekolahan baharu itu yang membuatkan dirinya lebih yakin untuk ke sekolah.

“Saya sangat seronok dapat jumpa rakan-rakan kembali. Saya mendapat baju dan kasut serba baharu tahun ini,” katanya.

Reaksi sama turut diluahkan oleh Jenny Alan, 7, yang terpilih menerima set bantuan persekolahan tersebut.

“Saya akan gunakan set bantuan persekolahan ini dengan sebaik mungkin. Saya akan fokus ketika belajar dalam kelas,” katanya.

Sementara itu, seorang guru, Nurul Fadzilah Md Yusoff, 37, berkata, program tersebut disertai murid dari suku Bateq berusia 7 hingga 17 tahun sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu.

Nurul Fadzilah
Nurul Fadzilah

Menurut Nurul Fadzilah, masalah komunikasi antara cabaran utama yang dihadapi namun sesi pembelajaran tetap dijalankan dengan baik.

“Apabila berada di dalam kelas, saya perlu membuat cara yang tersendiri bagi menarik perhatian mereka untuk belajar contohnya penggunaan televisyen,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sebanyak 7,495 set bantuan persekolahan diagihkan kepada murid orang asli di seluruh negara yang disampaikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Menurutnya, setakat ini sebanyak 70 peratus bantuan tersebut disalurkan kepada murid terlibat.

“KPLB melalui Jakoa telah memperuntukkan sejumlah RM3.8 juta untuk set bantuan ini kepada murid orang asli untuk tahun 2021 hingga 2023.

“Bantuan ini adalah salah satu inisiatif kementerian untuk mengurangkan peratusan keciciran murid orang asli dan menggalakkan mereka pergi ke sekolah,” katanya.

Abdul Rahman (kiri) menyarungkan uniform sekolah kepada penerima dari SK LKTP Kechau 1 sambil diperhatikan Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi (kanan).
Abdul Rahman (kiri) menyarungkan uniform sekolah kepada penerima dari SK LKTP Kechau 1 sambil diperhatikan Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi (kanan).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, KPLB turut menyediakan bantuan lain seperti menyediakan pengangkutan ke sekolah dan bantuan wang saku untuk memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.

“Saya melihat aspek pendidikan perlu diutamakan. Kementerian berharap mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan dan dapat melahirkan generasi baharu yang bakal menjadi pemimpin sekali gus menyumbang bakti kepada masyarakat mereka serta negara,” katanya.