Ringgit dijangka diniagakan tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit dijangka diniagakan tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan. - Foto 123RF
Ringgit dijangka diniagakan tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka diniagakan tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjejaki prestasi mata wang utama yang lain dengan jangkaan bahawa hasil perbendaharaan Amerika Syarikat akan meningkat, kata seorang penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, pasaran menjangkakan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan menentu ukur jangkaan pertumbuhannya yang lebih tinggi susulan daripada pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$1.9 trilion yang berkemungkinan akan terus memberi tekanan kepada perbendaharaan AS.

“Ini tidak menguntungkan bagi ringgit, saya jangka ia akan terus berada dalam kedudukan defensif. Saya jangka ia akan berada dalam jajaran antara 4.11 ke 4.13 berbanding dolar AS minggu depan,'' katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, peniaga tidak memasuki pasaran menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) minggu depan bagi keputusan kenaikan kadar digabungkan dengan harga minyak yang lemah.

“Justeru, ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil antara 4.09 ke 4.11 berbanding dolar AS minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit terus turun berbanding dolar AS kepada 4.1160/1200 berbanding 4.0720/0760 pada penutup minggu sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0557/0593 daripada 3.0359/0395 pada minggu sebelumnya, merosot berbanding yen Jepun kepada 3.7720/7760 daripada 3.7544/7584.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan juga jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7262/7326 daripada 5.6267/6338 Jumaat lepas dan berkurangan berbanding euro kepada 4.9050/9106 daripada 4.8563/8627. - Bernama