Rumah tradisional usia ratusan tahun tarikan di Terengganu

Keunikan senibina yang terukir di rumah mewakili setiap negeri di Malaysia itu mampu memikat orang ramai untuk melihatnya secara dekat.
Keunikan senibina yang terukir di rumah mewakili setiap negeri di Malaysia itu mampu memikat orang ramai untuk melihatnya secara dekat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Minat yang mendalam terhadap senibina tradisional Melayu mendorong seorang usahawan untuk mengumpul dan menghimpunkan rumah tradisional yang berusia lebih ratusan tahun.

Namun siapa menyangka minat mengumpul kediaman lama itu mampu menjadi perniagaan buat Alex Lee Yun Ping, di mana koleksi rumah lama itu juga bakal menjadi lokasi tumpuan pelancong yang bertandang ke negeri Terengganu.

Lokasi himpunan rumah itu dikenali sebagai Terramalai, atau Tanah Senibina Melayu, menyediakan beberapa jenis rumah tradisional berusia lebih 100 tahun dari negeri-negeri di semenanjung.

Usahawan berketurunan Cina peranakan Terengganu berusia 52 tahun itu berkata, idea dan impian untuk mengumpul rumah warisan telah tersimpan sejak awal tahun 90-an lagi.

Menerusi itu dia mula mencari dan merisik kediaman warisan dari seluruh semenanjung Malaysia untuk dipelihara dan diperkenalkan kepada orang ramai.

Nyata usaha itu membuahkan hasil dan setakat ini tiga buah rumah negeri yang menelan kos lebih RM1 juta telah didirikan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.

Lebih menarik, rumah warisan negeri itu bukan sahaja boleh dilawati malah orang ramai juga boleh menginap dan mendalami keunikan rumah negeri mengikut pilihan mereka.

“Kita sudah membangunkan tiga unit rumah tradisional iaitu Rumah Terengganu, Rumah Kelantan dan Rumah Negeri Sembilan. Ia turut dilengkapi hiasan dalaman artifak unik bagi negeri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Apabila pelancong mengunjungi rumah ini, sebagai contoh Rumah Terengganu, mereka akan dapat menikmati suasana keindahan hiasan dan keunikan di Terengganu,” katanya.

Himpunan rumah purba mengikut negeri itu dijangka akan dibuka kepada pengunjung Jun ini.

Jelasnya selain kediaman warisan yang berusia ratusan tahun, Terramalai ini juga akan lengkapi dengan lima buah istana lama.

Pastinya keunikan senibina yang terukir di rumah mewakili setiap negeri di Malaysia itu mampu memikat orang ramai untuk melihatnya secara dekat.

Alex berkata, Terramalai ini juga merupakan kesinambungan selepas kejayaannya membina Terrapuri Heritage Village di Kampung Mangkuk, Setiu.

Tambahnya, jika di Terrapuri mempamerkan keindahan istana zaman dahalu, Terramalai ini pula mencetuskan warisan untuk rumah tradisional secara setempat di kawasan seluas 1.012 hektar.- AWANI