Atas pagar jadi penentu

A
A
A

LAPORAN yang menyatakan makin ramai pengundi di atas pagar membuktikan bahawa parti-parti politik tidak lagi boleh mendabik dada.

Bagi saya ini adalah satu proses kematangan pengundi juga.

Para pengundi yakni rakyat jelata tidak perlu lagi menceburi politik ketaasuban.

Mereka hanya perlu berfikir dengan lebih baik di samping memastikan parti-parti politik yang menjadi kerajaan akan membuat kerja sepatutnya demi rakyat.

Walaupun wujudnya pengundi atas pagar dikatakan kerana ketidakstabilan penjajaran politik, namun pada masa yang sama ia memberi gambaran bahawa rakyat sudah tidak terdesak dengan politik yang hanya mementingkan diri sahaja.

Sudah sampai masanya rakyat menolak parti-parti politik yang menjanjikan bintang dan bulan tetapi mungkir.

Sudah sampai masanya rakyat menolak parti-parti politik yang ada pemimpinnya mempunyai masalah moral.

Dan untuk parti politik yang ada juga, perlu memberi perhatian sewajarnya akan kekuasaan rakyat jelata ini.

Artikel Berkaitan:

Sudah sampai masanya parti-parti politik yang ada, menolak calon-calon yang tidak bermoral dan mempunyai kes mahkamah sama ada sudah bersalah atau pun belum.

Pengundi atas pagar ini akan memainkan peranan besar dalam memastikan kerajaan yang dipilih adalah kerajaan yang betul-betul bermoral dan berkredibiliti.

Pengundi atas pagar ini bukan lagi seperti dulu iaitu bak kata pepatah lama kita mandi dalam cupak.

Mereka adalah pengundi yang sudah boleh berfikir sewajarnya.

Mereka tahu bagaimana memainkan peranan penting dalam memilih bakal kerajaan, supaya parti-parti politik ini bukannya terdiri daripada calon-calon.

Walaupun ada yang mengatakan bahawa mereka yang berada atas pagar ini tidak berprinsip dan mungkin juga tidak mempunyai ketetapan teguh dan boleh sahaja berpaling tadah, namun bagi saya, inilah kekuatannya, ia bukan lagi atas dasar ketaasuban.

Sudah sampai masanya rakyat tidak lagi berpolitik dengan taasub hanya kepada satu-satu parti.

Orang politik sekarang sebenarnya ramai yang tidak boleh dipercayai juga.

Memang sekali imbas seperti ingin memperjuangkan rakyat jelata tetapi sebenarnya seperti sembunyi-sembunyi puyuh sahaja.

Tidak stabil

Memandangkan parti-parti politik sekarang dalam keadaan tidak stabil untuk menang pilihan raya, maka mungkin akan terjadi pakatan-pakatan untuk mencari sokongan penuh. Supaya mendapat undi majoriti.

Ini satu malapetaka juga. Disebabkan ini, akan terjadinya lagi kejadian lompat katak.

Lompat katak yang tidak berkesudahan ini akan menjadi-menjadi lagi pada masa akan datang, untuk mencabul prinsip demokrasi pula.

Mereka akan sanggup melompat jika mendapat laba agaknya. Masalah ini perlu diambil tindakan segera.

Mungkin cadangan memperkenalkan akta lompat parti ini perlu diberi perhatian serius.

Jika tidak, seperti tidak ada maknanya rakyat jelata mengundi. Namun, satu pertanyaan juga, siapa yang akan mencadangkan untuk memperkenalkan akta ini?

Kepada mereka yang taasub pula, boleh sahaja tinggalkan sifat ketaasuban yang membabi buta.

Sudah sampai masanya kuasa rakyat diterjemahkan sebagai pengundi yang akan menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan.

Jika terlampau taasub, akan diambil kesempatan oleh orang politik yang tidak bermoral pula.

Orang politik ini banyak akalnya. Mereka berkehendak kuasa supaya dapat memenuhi nafsu serakah. Sebab itu kita rakyat jelata yang mengundi ini perlu berhati-hati dan buang sifat ketaasuban.

Kita berharap, untuk pilihan raya seterusnya, rakyat akan menjadi lebih berkuasa. Memilih pemimpin yang betul-betul jujur dan amanah.

Pada masa yang sama dengan kuasa rakyat juga dapat menidakkan mereka yang hanya tamatkan kuasa.

Orang yang tamak kuasa ini tidak boleh lagi memporak-perandakan negara dan pada masa yang sama menyusahkan rakyat jelata.

Kita, walaupun badan boleh dimiliki tapi hati tiada boleh dimiliki.

Sama-samalah kita berdoa supaya berjaya dalam perjuangan membersihkan kotoran-kotoran yang tinggal.

Kuncinya ialah tanpa taasub, atas pagar jadi penentu.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com