Bekas pemain bola baling kebangsaan derita kanser usus tahap empat

Kamiley menerima kunjungan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia, Pandak Ahmad yang menyampaikan bantuan berupa wang dan bekalan perubatan di kediamannya. - Foto Facebook Malaysia Handball
Kamiley menerima kunjungan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia, Pandak Ahmad yang menyampaikan bantuan berupa wang dan bekalan perubatan di kediamannya. - Foto Facebook Malaysia Handball
A
A
A

BIARPUN diuji hebat dengan kanser usus yang sudah memasuki tahap empat, namun bekas pemain bola baling kebangsaan, Kamiley Ngah tidak mudah menyerah kalah melawan penyakit dihidapinya sejak Oktober 2019.

Malah, pemain dalam skuad kebangsaan yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2003 (Hanoi, Vietnam) dan 2007 (Korat, Thailand) tetap bergiat aktif dalam sukan dicintainya termasuk menjadi jurulatih pasukan bola baling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Johor.

“Saya mula mendapat simptom buasir pada Jun 2019 sehinggalah doktor mengesahkan saya menghidap kanser pada Oktober 2019 setelah dilanda kesakitan yang berlarutan.

“Saya telah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 17 kali setakat ini dan doktor juga memaklumkan bahawa virus telah merebak sehingga ke paru-paru dan tulang pada tahap ketiga,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Kamiley yang berkecimpung dalam sukan bola baling sejak 1994 itu berkata beliau terpaksa mengambil keputusan sukar dalam hidupnya apabila menjalani pembedahan bagi membuang pundi kencingnya baru-baru ini.

“Selepas menjalani pembedahan itu, saya kini terpaksa memakai beg stoma untuk membuang air kencing sehinggalah akhir hayat saya nanti,” katanya yang telah mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM30,000 bagi menjalani rawatan kimoterapi sebelum ini.

Pada masa sama, bapa kepada tiga anak yang bertugas sebagai eksekutif di sebuah bank di ibu negara itu bersyukur dengan dana diberikan oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan majikannya, yang sedikit sebanyak meringankan beban serta menampung kos rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Terdahulu, Kamiley menerima kunjungan daripada Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia Pandak Ahmad yang menyampaikan bantuan berupa wang dan bekalan perubatan di kediamannya, di sini.

Artikel Berkaitan:

Noorul Ariffin berkata, YAKEB akan terus membantu Kamiley dalam membiayai kos perubatan yang dilaporkan tinggi manakala Pandak pula berkata pihaknya akan menggerakkan usaha melalui kutipan derma di seluruh negara untuk disalurkan kepada bekas pemain kebangsaan itu. - Bernama