X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh ditahan kes gaduh di Flat Impian Baiduri

Dua kejadian pergaduhan di kawasan Flat Impian Baiduri, Sungai Way, Petaling Jaya pada Khamis yang berlaku membabitkan tujuh hingga 11 lelaki.
A
A

PETALING JAYA - Polis memberkas tujuh individu susulan dua insiden pergaduhan di kawasan Flat Impian Baiduri, Sungai Way di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit pada jam 11.37 malam selepas menerima panggilan daripada orang awam.

"Sepasukan anggota unit kereta peronda ke lokasi dan mendapati terdapat dua kejadian pergaduhan melibatkan seramai tujuh hingga 11 lelaki.

"Kesemua lelaki berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun itu disyaki berada di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berpunca akibat selisih faham tempat parkir dan pembuangan sampah.

Katanya, dua mangsa berusia 34 dan 20 tahun mengalami kecederaan dalam dua insiden terbabit dan kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan pada dua buah kereta.

"Susulan itu, polis berjaya menahan tujuh suspek manakala empat lagi masih diburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Justeru, beliau menggesa empat individu terbabit supaya tampil menyerah diri di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor R Sangaran di talian 012-5390380 atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya 03-79662176," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!