Projek Smart WTE siap 90 peratus

Kok Seong (dua dari kiri) bersama Muhammad Yusof (kiri) dan Mohd Norlisan (tiga dari kiri) membantu mengangkat bahan sisa pepejal di punca yang telah diasingkan ke dalam lori di Seremban pada Jumaat.
Kok Seong (dua dari kiri) bersama Muhammad Yusof (kiri) dan Mohd Norlisan (tiga dari kiri) membantu mengangkat bahan sisa pepejal di punca yang telah diasingkan ke dalam lori di Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Projek pembinaan loji pemprosesan dan pemulihan sisa pepejal, Solid Waste Modular Advanced Recovery and Treatment (Smart) kepada tenaga (WTE) pertama di Malaysia yang dibina Cypark Resources Bhd di Ladang Tanah Merah di Port Dickson kini sudah siap 90 peratus.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, projek itu kini dalam proses akhir untuk disiapkan namun berlaku sedikit kelewatan disebabkan pandemik Covid-19.

"Dalam mesyuarat terakhir saya dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) saya dimakluman projek itu sepatutnya dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun ini.

"Tapi berlaku kelewatan kerana pakar-pakar dari luar negara sukar masuk ke negara ini berikutan Covid-19," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Pelancaran Hebahan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) dan Kempen Negeri Sembilan Bersih, di sini pada Jumaat.

Kok Seong (tiga dari kanan) melancarkan Hebahan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) dan Kempen Negeri Sembilan Bersih di Seremban pada Jumaat.
Kok Seong (tiga dari kanan) melancarkan Hebahan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) dan Kempen Negeri Sembilan Bersih di Seremban pada Jumaat.

Kemudahan Smart WTE dijangka dapat menerima kapasiti 1,000 tan metrik sisa pepejal setiap hari dan berupaya menghasilkan 20 megawatt (MW) hingga 25 MW tenaga hijau yang mencukupi untuk menjana kuasa kepada 25,000 isi rumah di sekitar loji itu.

Ia mula dibina pada 2016 di atas tanah seluas 70 hektar di Ladang Tanah Merah, di sini dan melibatkan kos sebanyak RM300 juta.

Sementara itu Kok Seong berkata, amalan kitar semula di negeri ini masih perlu ditambah baik dan kempen dilakukan secara berterusan oleh agensi berkaitan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penting untuk masyarakat mengamalkan amalan itu bagi mengurangkan pembuangan sisa demi jangka hayat tapak pelupusan sampah di negeri ini.

"Ia adalah tanggungjawab bersama dan dengan amalan kitar semula juga boleh menjana pendapatan kepada penduduk," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 55 buah lori pukal di negeri ini dipasang dengan kemudahan siar raya bagi tujuan hebahan awam ketika kutipan dilaksanakan di setiap kawasan perumahan.

Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisan Mohd Nordin dan Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Muhammad Yusof Ahmad.