Dua pengurus syarikat didakwa tipu pelaburan Bancus Coint

Chan Chen Shin (kiri) dan Pong Chin Yau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas tiga pertuduhan menipu berkaitan pelaburan wang Bancus Coint berjumlah RM12,867.30 pada tahun 2019.
- FOTO: BERNAMA
Chan Chen Shin (kiri) dan Pong Chin Yau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas tiga pertuduhan menipu berkaitan pelaburan wang Bancus Coint berjumlah RM12,867.30 pada tahun 2019. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

IPOH - Dua pengurus syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan menipu berkaitan pelaburan wang Bancus Coint berjumlah RM12,867.30 pada 2019.

Pong Chin Yau, 54, seorang wanita warga tempatan dan Chan Chen Shin, 52, lelaki warga Singapura, didakwa menipu Hoi Kim Than, 59, dengan memperdayakannya untuk mempercayai tertuduh akan memberikan pulangan pelaburan Bancus Coint yang tinggi.

Kedua-dua tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa untuk memasukkan wang berjumlah RM4,366.50 ke dalam akaun bank RHB atas nama syarikat tertuduh di RHB Bank Cawangan Menglembu di sini pada 1.45 petang, 14 November 2019.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa atas tuduhan sama telah menipu Leong Mei Lai, 45, membabitkan wang berjumlah RM5,000 dan RM3,500.80 yang dimasukkan ke dalam akaun Hong Leong Bank di No 257 Jalan Pasir Puteh, Taman Pengkalan Jaya di sini pada 1.48 petang, 1 Mei 2019.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan serta menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Siti Hajar Mohd Yusof manakala Pong diwakili peguam M Mahendra dan Chan diwakili peguam N Ravi. - Bernama

Artikel Berkaitan: