Mahkamah benar kes Abu Sahid, isteri dibicarakan bersama

Abu Sahid hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pada Ranu bagi sebutan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya. Foto Bernama
Abu Sahid hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pada Ranu bagi sebutan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes pengubahan wang haram membabitkan isteri Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed akan dibicarakan bersama dengan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi suaminya itu di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Suzana Hussin memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkaitan kes dihadapi Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi.

"Saya benarkan kes ini (Noor Azrina) dibicarakan bersama dengan kes Abu Sahid dan menetapkan sebutan kes pada 6 April untuk serahan dokumen," katanya. 

Terdahulu, Ahmad Akram berkata, Hakim Mahkamah Sesyen 8, Rosli Ahmad membenarkan permohonan pihaknya untuk memindahkan kes Noor Azrina ke mahkamah ini (Hakim Suzana).

"Sehubungan itu, pihak kami mohon agar kes membabitkan Noor Azrina dibicarakan bersama dengan kes Abu Sahid kerana ia membabitkan transaksi yang sama dan saya percaya perkara ini tidak dibantah pihak pembelaan," katanya yang turut disahkan peguam, Datuk Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid.

Noor Azrina, 49, didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Abu Sahid, 75, sebagai Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang milik syarikat yang diamahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama dan hukuman serupa. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kes pengubahan wang haram yang membabitkan isteri Pengarah Maju Holdings akan dibicarakan bersama dengan kes suaminya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur
  • Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya untuk mencantumkan kedua-dua kes tersebut
  • Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM67.14 juta
  • Suaminya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang milik syarikat
  • Abu Sahid juga berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram dan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!