X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Kenyataan bersama Majlis Presiden PH: Guan Eng beri keterangan

Guan Eng melambai tangan kepada wartawan yang menunggu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pagi Khamis.
A
A

GEORGETOWN - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk memberi keterangan berhubung kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada 12 Januari lalu.

Guan Eng tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani di sini kira-kira jam 11.30 pagi, Khamis sambil diiringi peguamnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Proses rakaman keterangan yang mengambil masa kira-kira sejam itu dijalankan anggota polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Rayer ketika ditemui berkata, proses rakaman keterangan yang dibuat telah selesai, namun anak guamnya akan sentiasa memberi kerjasama sekiranya ada keperluan dalam siasatan.

"Anak guam saya memberi kerjasama sepenuhnya dengan baik kepada polis untuk siasatan dijalankan.

"Selain beliau (Guan Eng), Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi keterangan berhubung kenyataan yang sama," katanya kepada media.

Katanya, Presiden Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dijangka akan memberi keterangan kepada polis esok (Jumaat).

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Sebelum ini Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersamanya berkata, pihaknya mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia daripada Covid-19.

Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH berpendapat bahawa undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum pada 11 Januari lalu adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini.

Majlis Presiden PH juga berpandangan bahawa tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen termasuk Machang dan Padang Rengas dan ia bermaksud langkah tersebut tidak boleh diterima.

Sementara itu, Rayer juga berharap agar polis akan menjalankan siasatan ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dua hari lalu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari telah membuat laporan polis terhadap Takiyuddin kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!