Proklamasi darurat tidak boleh dicabar

Proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, perkara itu diperuntukkan di bawah Artikel 150(8) Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain menetapkan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat adalah muktamad dan konklusif, dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah walau apa jua alasannya.

Hakim membuat ketetapan itu selepas mengetepikan permohonan semakan kehakiman yang dibawa oleh tiga wakil rakyat untuk mencabar tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri semasa darurat.

Tiga wakil rakyat itu terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram yang juga Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ADUN Gurun yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan Perdana Menteri dan juga kerajaan Malaysia sebagai responden.

Hakim Ahmad Kamal juga berpandangan bahawa permohonan ketiga-tiga pemohon untuk mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai proklmasi darurat tidak boleh terbuka kepada semakan kehakiman.

"Artikel 150 (8) Perlembagaan Persekutuan adalah sah dan berperlembagaan. Lebih penting lagi, Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan telah menutup pintu mahkamah terhadap sebarang tindakan mencabar atau permohonan bagi menentang proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penemuannya dalam Artikel 150(8) Perlembagaan Persekutuan, tiada semakan kehakiman boleh dibuat bagi mencabar keputusan Agong di bawah Artikel 150(1) dan Artikel 150(2B) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Malah isu ini sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang Pendakwa Raya,” katanya.

Hakim Ahmad Kamal seterusnya berkata, tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tanggungjawab undang-undang terhadap responden pertama (Muhyiddin) untuk bertindak sebagaimana yang dikatakan oleh pemohon.

"Oleh itu, dengan ketiadaan kewajiban undang-undang yang dikenakan pada responden pertama, relif yang dipohon oleh pemohon adalah salah faham dalam undang-undang.

Oleh itu, hakim berkata, pemohon gagal melepasi ujian semakan kehakiman kerana perkara dalam kes itu telah diselesaikan oleh undang-undang.

"Jelas bahawa tidak ada kes yang dapat diperdebatkan pemohon. Oleh itu, permohonan ini tidak berasas. Sehubungan dengan perkara di atas, permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ditolak tanpa perintah berhubung kos," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S Narkunavathy mewakili responden sementara Peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dan Christopher Leong mewakili pemohon.

Pada 26 Januari lepas ketiga-tiga wakil rakyat itu memohon beberapa relif daripada mahkamah terhadap proklamasi darurat.

Pejabat Peguam Negara pada 11 Februari menfailkan bantahan terhadap permohonan itu dengan alasan pemohon tidak mempunyai kes yang boleh didebatkan bagi membolehkan kebenaran semakan kehakiman diberikan.

Pada 12 Januari lepas Istana Negara dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada proklamasi daurat untuk dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif bagi menangani pandemik Covid-19 dalam negara.

Muhyiddin dalam perutusan khas sempena proklamasi darurat pada hari yang sama menjelaskan bahawa Kabinet telah menasihatkan Seri Paduka Baginda untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara selaras dengan Artikel 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Artikel 150 (1), antaranya menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati bahawa wujud kecemasan besar yang menggugat keselamatan, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam, yang mengancam persekutuan. - Bernama