Stesen Segamat catat IPU tidak sihat

Vidyananthan
Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Stesen Segamat merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu 153 setakat jam 9 pagi pada Khamis.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, IPU di tujuh stesen bacaan udara di negeri ini mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melalui cawangannya di Muar telah ke lokasi Stesen Segamat bagi melakukan siasatan dan pemantauan terhadap kualiti udara di situ.

"Hasil siasatan mendapati terdapat kesan aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku berhampiran Stesen Segamat.

"Pemantauan lanjut akan terus dijalankan oleh JAS cawangan Muar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Vidyananthan berkata, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 10 Mac 2021, terdapat tiga titik panas (hotspot) yang dikesan di negeri ini.

"Melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration terdapat satu lokasi hotspot dikesan di daerah Mersing dan dua lokasi hotspot di daerah Kota Tinggi," katanya.

Katanya, JAS Johor akan sentiasa memantau status kualiti udara semasa melalui lapan stesen automatik JAS di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga mengingatkan kepada semua pemilik tanah agar memantau tanah masing-masing terutama kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, kawasan pertanian, ladang, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah, hutan, belukar dan kawasan perindustrian.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuklah terhadap pemilik tanah," katanya.