SPRM terima laporan salah guna kuasa Menteri Muda

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Pengarah Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Razim Mohd Noor mengesahkan SPRM telah menerima laporan yang mendakwa Menteri Muda Pembangunan Usahawan Perusahaan Kecil E-Dagang, Datuk Naroden Majais terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa sebagai seorang menteri muda.

Katanya, pihak SPRM akan menjalankan siasatan berkenaan laporan tersebut dan sekiranya perlu, Naroden akan dipanggil untuk memberi keterangan.

"SPRM akan menjalankan penyiasatan. Kami (SPRM) tengok keperluan untuk panggil beliau (Naroden),” katanya ketika dihubungi oleh Bernama di sini, hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal tempatan telah melaporkan seorang bekas wartawan, Joseph Tawie telah tampil ke ibu pejabat SPRM, Jalan Tun Jugah di sini bagi membuat laporan mengenai Naroden yang juga ADUN Gedong yang dikatakan memiliki tanah yang luas di sekitar kawasan Simunjan.

Dalam laporan itu, Joseph juga mendedahkan bahawa beliau turut dibantu oleh peguam Dominique Ng, yang juga bekas ADUN Padungan, untuk sama-sama membuat laporan itu pada 8 Februari.

Katanya, laporan yang dibuat itu bersangkut paut dengan laporan yang telah dibuat oleh Ng pada sebelum ini iaitu laporan yang dibuat adalah tentang isu tanah yang diambil.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan secara terperinci di mana kawasan tanah yang dimaksudkan oleh Ng. - Bernama

Artikel Berkaitan: