Duta AS kagum usaha Malaysia kekang Covid-19

McFeeters bergambar selepas menyaksikan penyerahan sumbangan AS kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Rabu. - Foto Bernama
McFeeters bergambar selepas menyaksikan penyerahan sumbangan AS kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian McFeeters kagum dengan tindak balas Malaysia terhadap Covid-19, termasuk usaha mencegah penularan virus, merawat pesakit dan program vaksinasi.

"Seluruh dunia berdepan cabaran akibat krisis ini, setiap negara lakukan yang terbaik. Saya bukan pakar, tapi daripada apa yang saya tahu, saya rasa Malaysia telah melakukan tugas yang luar biasa," katanya.

McFeeters bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan AS kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Rabu.

Sumbangan berupa alat ujian Covid-19 dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) berjumlah AS$75,000 (RM309,000), diberikan oleh Jabatan Pertahanan AS, Bahagian Kemanusiaan Luar Komando Indo-Pasifik AS (USINDOPACOM) dan Pejabat Bencana dan Bantuan Awam (OHDACA).

"Saya harap sumbangan PPE dan kit ujian pantas ini memberi manfaat kepada barisan hadapan. Saya harap sumbangan ini sebagai pengiktirafan terhadap hubungan erat yang telah lama terjalin dan usaha bersama kami untuk memberikan bantuan kemanusiaan semasa krisis," kata McFeeters.

Beliau berkata, syarikat AS di Malaysia juga aktif dengan menyumbang lebih RM7 juta kepada usaha bantuan Covid-19 sejak tahun lalu.

McFeeters mengatakan AS komited terhadap usaha bantuan Covid-19 global dan negara itu telah menjanjikan AS$4 juta hingga tahun 2022 dengan separuh daripadanya telah diberikan kepada COVAX menjadikan ia penyumbang terbesar dalam usaha COVAX.

Mengenai hubungan AS-Malaysia, katanya, selain pandemik Covid-19, kedutaan turut menumpukan untuk membangun hubungan lebih erat antara kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

"Tiga bidang utama adalah hubungan ekonomi, hubungan keselamatan dan hubungan antara rakyat seperti program pertukaran, pendidikan dan pembelajaran mengenai sistem masing-masing yang mungkin termasuk meminta anggota Parlimen Malaysia mengunjungi Kongres AS dan perkara-perkara seperti itu.

“Ia sedang diusahakan dan terutamanya selepas Covid-19,” katanya.

Daripada segi hubungan ekonomi, McFeeters berkata, kedua-dua negara mempunyai hubungan yang kukuh dengan sekitar AS$60 bilion dagangan setiap tahun.

Katanya, AS juga melabur sekitar AS$10 bilion di Malaysia, yang menghasilkan hampir 100,000 pekerjaan untuk rakyat negara ini.

"Oleh itu, antara keutamaan saya sebagai duta adalah untuk membina perdagangan dan pelaburan," tambahnya. - Bernama