Agong ada kuasa mutlak dan tidak perlu terima nasihat PM

Gambar kecil: Haniff Khatri dan Khairil
Gambar kecil: Haniff Khatri dan Khairil
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pakar undang-undang menegaskan dalam keadaan darurat, Parlimen masih boleh bersidang dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai hak untuk membuat keputusan berhubung perkara itu walaupun tanpa nasihat Perdana Menteri.

Peguam, Haniff Khatri berkata, jika sebelum darurat, perkara itu termaktub di dalam Perkara 55 dibaca bersama Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri namun apabila darurat Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan kuasa mutlak di bawah Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 2021.

"Sebenarnya dalam keadaan darurat tidak ada ordinan khusus maka Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan kuasa penuh berhubung urus tadbir kerajaan tanpa perlu meminta nasihat Perdana Menteri.

“Apa yang menjadi persoalan ramai ketika ini adalah berhubung titah Yang di-Pertuan Agong yang mengizinkan sidang Parlimen dijalankan, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi kenyataan bahawa sidang Parlimen tidak akan diadakan semasa tempoh darurat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, tindakan Takiyuddin itu sebenarnya perlu diteliti semula dari sudut undang-undang termasuk adakah beliau telah melakukan kesalahan terhadap institusi diraja disebabkan kenyataannya itu.

“Bagi saya, sepatutnya perkara ini perlu dirujuk kepada Peguam Negara kerana ia lebih kepada urus tadbir kerajaan dan melibatkan undang-undang dan bukan kesalahan jenayah.

“Maka tugas Peguam Negara dalam menyelesaikan isu yang timbul ini diperlukan agar rakyat lebih jelas dengan keadaan situasi semasa buat masa ini,” katanya lagi.

Sementara itu pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, kenyataan pihak yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Takiyuddin sebenarnya menggambarkan kumpulan itu mahu mendesak Kabinet supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen seawal mungkin iaitu sebelum tamatnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos nanti.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan undang-undang ini ialah terhadap Menteri tersebut, dan secara tidak langsung kepada Kabinet dan Perdana Menteri, bukannya terhadap Seri Paduka Baginda.

"Apa yang tersirat daripada tuntutan ini ialah semua pihak, termasuk pihak yang mengambil tindakan undang-undang, mengakui bahawa kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang terletak pada Kabinet," katanya.

Khairil Azmin menambah, daripada aspek undang-undang dan Perlembagaan sudah jelas bahawa menteri dan Kabinet bebas untuk membuat keputusan berdasarkan pertimbangan mereka selepas mengambil kira faktor-faktor yang berkaitan termasuk ahli dan pakar dalam isu tersebut.

"Mereka boleh menerima atau menolak pandangan dan saranan daripada pihak lain termasuk daripada parti pembangkang. Dalam hal ini, pihak yang mengambil tindakan undang-undang juga mengakui bahawa usaha untuk membawa kes ini ke mahkamah hanya sebagai desakan atau tekanan sahaja terhadap menteri dan Kabinet.

"Maka dalam erti kata lain mahkamah dijangka tidak akan memaksa menteri atau Kabinet untuk memenuhi desakan oleh pihak tersebut," katanya.

Pada Selasa, Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata, ketetapan yang dibuat Takiyuddin itu dilihat berlawanan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mengizinkan sidang Parlimen diadakan.

Menurut Abdul Aziz lagi, kerajaan nampaknya tidak mahu memberikan nasihat kepada Istana untuk mengadakan sidang Parlimen dan ini bertentangan dengan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) dan Ordinan Darurat itu sendiri.

Abdul Aziz turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak terhadap isu berkenaan.