Bawa kain kafan ke Korea Selatan, pulang guna kain kafan sendiri

Jenazah Muhammad Khairul disembahyangkan di pekarangan MASKargo sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Icebox, Tawau, melalui jalan darat.
Jenazah Muhammad Khairul disembahyangkan di pekarangan MASKargo sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Icebox, Tawau, melalui jalan darat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kain kafan yang dibawa dari Tawau adalah satu-satunya 'harta' yang dibawa Allahyarham Muhammad Khairul Anas Abd Gapal, 31, sebelum berangkat ke Korea Selatan pada Disember 2019.

Menurut adiknya, Mohd Nasrin, 28, mereka terputus hubungan dengan arwah sejak 14 bulan lalu dan hanya mengetahui kematiannya melalui rakan arwah yang juga bersama-samanya di Korea Selatan.

"Sebelum dia (arwah) ke Korea, dia memang bawa kain kafannya sendiri dari Tawau.

"Ketika itu, dia bercakap dengan rakannya, hanya harta yang dibawanya adalah kain kafan sahaja sebelum dia berangkat ke Korea dan rakannya di Korea pun tidak tahu yang dia membawa kain kafannya sendiri," katanya ketika ditemui ketika menyambut ketibaan jenazah Muhammad Khairul di pekarangan MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Nasrin berkata, rakan arwah di Korea memaklumkan ketika proses mengkafankan jenazah, imam di Masjid Seoul meminta mereka menyediakan kain kafan yang baharu.

"Mungkin ada hikmahnya dia membawa kain kafan sendiri dan apabila rakannya periksa beg arwah ada kain kafan di dalamnya. Jadi jenazahnya dikafankan dengan menggunakan kain kafannya sendiri yang dibawa dari Tawau," katanya.

Sementara itu, abang sulung arwah, Ramlee, 40, mereka dimaklumkan berhubung kematian adiknya pada 26 Februari lalu oleh rakan-rakannya yang juga rakyat Malaysia yang berada di Korea Selatan.

"Di Tawau dia bekerja sebagai mekanik, namun berhijrah ke Korea Selatan tanpa pengetahuan kami dengan hasrat mengumpul wang untuk membuka bengkelnya sendiri di Tawau.

Artikel Berkaitan:

"Menurut rakan-rakannya, arwah di sana bekerja di kebun dan menjual barangan bundle," katanya.

Jenazah Muhammad Khairul tiba di pekarangan MASKargo sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Icebox, Tawau melalui jalan darat.
Jenazah Muhammad Khairul tiba di pekarangan MASKargo sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Icebox, Tawau melalui jalan darat.

Ramlee berkata, mereka bersyukur kerana proses membawa pulang jenazah adiknya dipermudahkan dengan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk kira-kira 200 peniaga bundle rakyat Malaysia yang berada di Korea Selatan serta badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah.

"Memang ada kesukaran termasuk dari segi kos kerana kami sekeluarga memang tidak mampu iaitu memerlukan kira-kira RM50,000 untuk pengurusan jenazah ini.

"Kami juga mendapat maklumat jika jenazah dikebumikan di sana, kami perlu membayar RM10,000 setiap tahun selagi mayat di kubur di sana.

"Jadi sebab itu, peniaga-peniaga bundle di Korea ikhtiar carikan kos dan buat sekali saja untuk hantar ke Malaysia (Sabah)," katanya.

Jenazah Muhammad Khairul tiba di Kota Kinabalu pada jam 9.20 pagi dengan disambut oleh ahli keluarga iaitu empat adik-beradiknya termasuk Nazrin dan Ramlee bersama NGO daripada Amanah Hawi Alkhairat (HAK) Sabah, Persatuan Cinta Amal Sabah dan Pertubuhan Kebajikan Nurul Musthofa Sabah.

Sementara itu, Pengerusi HAK Sabah, Syed Husin Habib Omar berkata, van jenazah untuk membawa pulang jenazah Muhammad Khairul ke kampung halaman di Tawau turut disediakan.

"Hari ini (Rabu) kita akan ke Tawau melalui jalan darat iaitu jalan Kimanis-Kalabakan yang mengambil masa kira-kira enam jam perjalanan.

"Kami juga akan melakukan solat jenazah di pekarangan MASKargo sebelum memulakan perjalanan ke Tawau," katanya.

Jenazah Muhammad Khairul dijangka akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Icebox pada malam Rabu.

Jenazah Muhammad Khairul berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas usaha 12 peniaga bundle mengumpul dana sebanyak RM76,430 melalui jualan jualan amal secara langsung di laman media sosial Facebook baru-baru ini.