Budak 12 tahun jaga ayah lumpuh, ibu berpantang

Nik Nur Muhammad Akid Najwan (kanan) bersama Nik Nur Aina Najma tidak pernah lekang daripada menjaga ayah mereka.
Nik Nur Muhammad Akid Najwan (kanan) bersama Nik Nur Aina Najma tidak pernah lekang daripada menjaga ayah mereka.
A
A
A

PASIR PUTEH - Walaupun usianya baru menginjak 12 tahun, Nik Nur Muhammad Akid Najwan Nik Rizuan sudah 'memangku' tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila sanggup mengerah kudrat menjaga ayah yang lumpuh di Kampung Dalam Rhu, Semerak di sini.

Anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa menjaga ibunya sedang berpantang selepas bersalin 18 hari lalu.

Tidak cukup dengan itu, Nik Nur Muhammad Akid Najwan sanggup tidur di sebelah katil ayahnya, Nik Rizuan Nik Par, 38, yang terlantar sakit sejak Ogos tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru bagi memastikan insan tersayang dijaga dengan rapi.

Zaleha Manaf, 36, yang ketika ini sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat mengakui dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada anak sulungnya itu.

"Saya sedih bila melihat anak yang masih kecil perlu memikul tanggungjawab ini, namun kami tidak punya pilihan.

"Dengan keadaan saya yang sarat mengandung sebelum ini dan sekarang sedang berpantang, sukar untuk menguruskan suami terlantar," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, Nik Nur Muhammad Akid Najwan tidak kekok memberikan susu serta menukar lampin pakai buang serta mengelap badan ayahnya.

Artikel Berkaitan:

Zaleha yang sedang berpantang dan suami terlantar serta anak-anak mengharapkan Nik Nur Muhammad Akid Najwan (dua dari kanan) 'memangku' tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Zaleha yang sedang berpantang dan suami terlantar serta anak-anak mengharapkan Nik Nur Muhammad Akid Najwan (dua dari kanan) 'memangku' tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Zaleha berkata, selepas itu dia akan membantunya menguruskan adik-adik lain iaitu Nik Nur Aina Najma, 10, Nik Muhammad Bakri, 5, Nik Nur Basyirah, 19 hari.

Dia berkata, keluarga mereka bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila suaminya kehilangan pekerjaan pada awal tahun lalu selepas kilang tempat Nik Rizuan bekerja di Kuantan perlu mengurangkan kakitangan.

Katanya, selepas kehilangan kerja mereka sekeluarga yang sebelum ini menetap di Kemaman, Terengganu nekad pulang ke Kelantan untuk meneruskan kehidupan.

Zaleha berkata, di sini mereka menumpang di rumah peninggalan orang tua di mana salah seorang abangnya turut sama tinggal bersama.

Dia berkata, belum sempat mencari pekerjaan suaminya didapati mempunyai masalah paru-paru dan sekarang hanya mampu terlantar.

"Sepanjang tujuh bulan suami terlantar, kami hanya bergantung kepada sedekah daripada sanak saudara untuk meneruskan hidup kerana ketika itu saya sarat mengandung, sukar untuk mencari kerja," katanya.

Sebelum itu, Zaleha dan keluarga menerima kunjungan daripada Puteri UMNO Kelantan yang diketuai oleh ketuanya, Marzuani Ardila Arifin sempena Program Ziarah Prihatin Puteri Kelantan dengan kerjasama Puteri UMNO Pasir Puteh.

Marzuani Ardila berkata, hasil kunjungan tersebut mereka dapati keluarga ini belum menerima sebarang bantuan yang sepatutnya diterima dalam keadaan mereka sekarang.

"Kami berharap pihak berkenaan dapat menyegerakan bantuan kepada keluarga Zaleha bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

"Pihak kami turut membantu dengan memberikan barangan keperluan dapur, wang tunai dan sokongan moral kepada keluarga ini," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1199 5411 00 3236 27 atas nama Zaleha Manaf.