Tendang, pijak perut budak 3 tahun hingga maut, ibu dan teman lelaki direman

Perintah tahanan reman sehingga 13 Julai ini terhadap wanita berusia 24 tahun dan kekasihnya yang berusia 25 tahun, dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman. - Gambar/ Astro AWANI
Perintah tahanan reman sehingga 13 Julai ini terhadap wanita berusia 24 tahun dan kekasihnya yang berusia 25 tahun, dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman. - Gambar/ Astro AWANI
A
A
A

AYER KEROH - Seorang ibu muda dan teman lelakinya direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini selepas disyaki terlibat dalam kematian anak lelakinya berusia tiga tahun di sebuah rumah di Cheng, awal pagi semalam.

Perintah tahanan reman sehingga 13 Julai ini terhadap wanita berusia 24 tahun dan kekasihnya yang berusia 25 tahun, dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana bunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pasangan itu ditahan ketika menghantar kanak-kanak itu menerima rawatan di Hospital Melaka semalam.

Katanya, sebelum kejadian, ibu kandung mangsa menghantar anaknya itu ke rumah teman lelakinya yang bekerja sendiri pada pukul 5.30 pagi semalam untuk berubat selepas kerap mengalami muntah-muntah.

“Lebih kurang pukul 6.20 pagi, suspek wanita telah dihubungi oleh teman lelakinya beritahu mangsa telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum wanita itu kemudian mengambil mangsa dan teman lelakinya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan pada bahagian kepala dan badan dan siasatan awal kemudian dijalankan, mendapati suspek merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, mayat kanak-kanak itu kemudian di bawa ke Unit Perubatan Forensik dan hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan di kepala dan badan.

Mengulas lanjut katanya siasatan turut mendapati, lelaki berkenaan mengaku bertindak menendang dan menekan perut mangsa berkali-kali secara agresif selepas mangsa muntah di atas sofa kesayangannya.

“Suspek dipercayai menekan perut mangsa secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai dan akibat perbuatannya itu, tengkorak dan organ dalam perut mangsa pecah,” katanya. - Awani