Wanita ditemukan maut dalam rumah berkunci

No Image Caption
A
A
A

TAMPIN - Seorang wanita ditemukan maut dalam sebuah rumah di Kampung Sungai 2, Gemencheh dekat sini pagi Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis pada jam 10.53 pagi dan menggerakkan tujuh anggota termasuk pegawai dan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapati mangsa yang dikenali sebagai Marhaini Ali, 56, terbaring kaku dalam tandas sebuah rumah yang berkunci.

"Anggota bomba kemudian memotong kunci pintu rumah menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu utama rumah berkenaan,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa dikatakan tinggal berseorangan dan disahkan meninggal dunia lebih 24 jam lepas oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Gemencheh.

Menurutnya, punca kematian mangsa masih disiasat dan mayat wanita malang itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: