Kerajaan ambil langkah atasi masalah kekurangan beras

CHE ABDULLAH
CHE ABDULLAH
A
A
A

JITRA - Kerajaan sentiasa mencari jalan menyelesaikan masalah bekalan makanan negara susulan isu kekurangan pengeluaran beras demi memastikan ia mencukupi untuk keperluan orang ramai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, isu-isu yang berlaku ada dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau berkata, pihaknya menyedari masalah sedemikian yang sering berlaku dan mengambil langkah mengatasi kekurangan pengeluaran beras seperti didakwa.

"Ya, kita pun bincang di peringkat kementerian masalah yang berlaku ini. Masalah yang dihadapi ini sememangnya sentiasa berlaku.

"Cuma kerajaan ambil langkah untuk cuba atasi masalah kekurangan pengeluaran tersebut," katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) Kedah di Inapan Seri Laksamana, Jalan Istana, Lubuk Kawah di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berlaku kekurangan pengeluaran beras di negara ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas langkah mengurangkan kebergantungan import hasil tanaman dari negara lain, beliau berkata, perkara terbabit telah dimasukkan dalam Dasar Agro Makanan yang bakal dilancarkan nanti.

Menurutnya, jaminan bekalan makanan merupakan isu yang diberi perhatian oleh kementerian, malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Che Abdullah berkata, meningkatkan hasil pengeluaran tanaman dalam keadaan tanah pertanian semakin berkurangan merupakan antara cabaran MAFI.

Beliau berkata, ancaman tanah pertanian merupakan fenomena yang bukan hanya dialami di negara ini, malah seluruh dunia disebabkan beberapa faktor seperti keperluan manusia, keperluan asas lain serta pembangunan rumah yang turut diperlukan rakyat.

"Jadi, menjadi cabaran kepada sektor pertanian dan kementerian ialah mengeluarkan hasil makanan yang bertambah dalam suasana tanah pertanian makin berkurangan.

"Dalam erti kata lain, kita perlu meningkatkan diri dan pengeluaran hasil dari tanah yang semakin berkurangan ini," katanya.