Bank Islam sumbang 1,000 tablet kepada pelajar kurang berkemampuan

Mohd Muazzam bersama penerima-penerima sumbangan tablet di Dewan Rukun Tetangga, Brickfields baru-baru ini.
Mohd Muazzam bersama penerima-penerima sumbangan tablet di Dewan Rukun Tetangga, Brickfields baru-baru ini.
A
A
A

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan syarikat induknya,BIMB Holdings Berhad telah memperuntukkan lebih RM600,000 untuk menyediakan 1,000 tablet kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, peruntukkan berkenaan melibatkan dana daripada BHB, zakat serta cabang tanggungjawab korporat AMAL dan platform pendanaan awam kewangan sosial Bank Islam, Sadaqa House.

Menurut Mohd Muazzam, sumbangan 1,000 tablet itu khusus bagi membantu proses pembelajaran dalam talian terutamanya bagi anakanak daripada keluarga asnaf, mangsa banjir dan golongan orang kurang upaya (OKU) terpilih di seluruh negara.

“Bank Islam amat berbesar hati dan bersyukur kerana berpeluang untuk menggembirakan anak-anak ini, pada masa yang sama meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan. Bank Islam komited untuk mengagihkan peranti ini kepada pelajar-pelajar di seluruh negara dan kini, kira-kira 500 tablet telah diserahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tablet Kepada Pelajar Daripada Keluarga OKU Cacat Penglihatan di Dewan Rukun Tetangga, Brickfi elds, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohd Muazzam (tengah) menyerahkan tablet kepada Huswatun Hasanah di Dewan Rukun Tetangga, Brickfields baru-baru ini.
Mohd Muazzam (tengah) menyerahkan tablet kepada Huswatun Hasanah di Dewan Rukun Tetangga, Brickfields baru-baru ini.

Dalam program itu, Bank Islam telah menyantuni 35 keluarga OKU cacat penglihatan pelbagai bangsa dan menyerahkan peranti tablet yang dilengkapi pelan data internet.

Mohd Muazzam berkata, inisiatif di bawah teras AMAL dan platform pendanaan awam Sadaqa House itu mendapat kerjasama rakan strategik Bank Islam iaitu Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Lembaga Zakat Negeri, Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah–sekolah Malaysia (PEKDIS) dan Celcom Axiata Berhad.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyerahan sumbangan tersebut telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 19 Februari lalu.

“Penyediaan kemudahan ini selari dengan Matlamat 4-Pendidikan Berkualiti, Matlamat Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG),” katanya.

MOHD MUAZZAM
MOHD MUAZZAM

Mohd Muazzam berkata, walaupun sekolah telah dibuka secara berperingkat, namun Bank Islam percaya bahawa tablet itu dapat terus dimanfaatkan pelajar.

Beliau berkata, prihatin dengan kesukaran yang dialami anak-anak terpilih ini, Bank Islam terpanggil untuk membantu menerusi penyerahan sumbangan tablet berserta pelan data internet selama empat bulan bagi memastikan pelajar terbabit tidak tercicir dalam pembelajaran mereka.

“Bank Islam amat menitikberatkan usaha-usaha yang membawa kepada kesejahteraan segenap lapisan pelanggan dan komuniti di mana kami beroperasi, tanpa mengira Batasan kaum dan agama.

Pendidikan adalah salah satu bidang tumpuan Bank Islam. Oleh itu, kami percaya bahawa ia adalah senjata penting dalam mempertingkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya dalam kalangan kurang berkemampuan.

“Sejajar dengan matlamat pendigitalan pendidikan, kami berharap agar penyerahan tablet dan kemudahan data internet ini akan merapatkan lagi jurang digital yang wujud,” katanya.

Bantu belajar secara dalam talian

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan berkenaan, Kong Meng Fatt, OKU cacat penglihatan berumur 14 tahun berkata, kemudahan ini dapat membantunya dalam meningkatkan kefahaman dalam pembelajaran secara dalam talian melalui aplikasi bantuan suara (voice assisted).

Meng Fatt memberi demonstrasi bagaimana aplikasi bantuan suara membantu dia belajar
Meng Fatt memberi demonstrasi bagaimana aplikasi bantuan suara membantu dia belajar

“Sebelum ini, keadaan agak mencabar kerana saya terpaksa menggunakan telefon bimbit ibu dengan paparan yang kecil, menyukarkan saya mengendalikan peranti itu,” katanya.

Bagi Huswatun Hasanah Johan, 14 tahun, bersyukur dan terharu kerana menerima sumbangan berkenaan.

“Ketika belajar dalam talian, kami selalu ada masalah liputan internet di rumah dan ini menyukarkan keadaan,” katanya.

Tambah remaja ini, dengan pemberian tablet yang dilengkapi dengan pelan data internet, ia akan membantu sesi pembelajaran yang diikuti.

Info inisiatif pendigitalan Bank Islam

Mobile onboarding (MOB)

- Merupakan bank pertama di Malaysia menggunakan saluran pendaftaran mudah alih atau ‘mobile onboarding’ (MOB) untuk pelanggan runcit.

- MOB menyediakan perkhidmatan lengkap pembukaan akaun termasuk pengeluaran kad debit secara sertamerta kepada pelanggan, melalui janji temu yang ditetapkan.

- Menerusi peranti tablet yang dilengkapi perisian khusus, pembukaan beberapa jenis produk Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) serta Akaun Pelaburan seperti Al-Awfar dan iGain boleh dilaksanakan segera.

- Kemudahan ini dilancarkan pada 8 Februari 2021.

TheNoor

- Bank Islam menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Noor Luminous Sdn Bhd untuk menawarkan kemudahan dan produk perbankan Islam melalui aplikasi digital baharu syarikat berkenaan yang dikenali sebagai TheNoor.

- TheNoor adalah sebuah aplikasi gaya hidup Muslim yang menerapkan aspekaspek kerohanian dalam kehidupan harian.

- Aplikasi berkenaan telah dilancarkan di pasaran pada Januari 2021.

GO by Bank Islam

- Aplikasi perbankan mudah alih bagi kemudahan pelanggan Bank Islam.

- Dilancarkan pada 15 November 2019.

- Antara kemudahan yang disediakan termasuk pemindahan dana, pembayaran kad, pembiayaan dan bil serta perkhidmatan Tabung Haji seperti pertanyaan baki, pemindahan dana serta pendaftaran Haji.

SnapNPay

- Bank Islam menyediakan kemudahan pembayaran elektronik mudah bagi membolehkan pelanggan menunaikan kewajiban membayar Zakat Fitrah pada bulan Ramadan.

- Menerusi aplikasi mudah alih SnapNPay, kemudahan pembayaran tersebut melibatkan kerjasama dengan rakan strategik, SnapNPay Digital Sdn Bhd dan 11 Lembaga Zakat Negeri.

Kad Debit-i Bank Islam Visa

Tabung Haji

- Dilancarkan pada 11 Februari 2020 menerusi usaha sama dengan Lembaga Tabung Haji dan Visa.

- Menawarkan rangkaian pembayaran dan akses tunai yang meluas di seluruh dunia.

- Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji juga memudahkan urusan transaksi kewangan bagi jemaah Haji di Tanah Suci.

General Financial Insights

- Menyediakan inovasi penyelesaian penilaian risiko kredit, General Financial Insights (GFI), menerusi kerjasama dengan Global Psytech Sdn Bhd

- GFI menganggar risiko penyediaan pembiayaan kepada pemohon walaupun beliau tidak mempunyai sejarah kredit sebelum permohonan.