X

Kindly register in order to view this article
!

Tahap pendidikan wanita lebih mengagumkan berbanding lelaki

Amirudin
A
A

SHAH ALAM - Tahap pendidikan wanita di negara ini lebih mengagumkan melebihi lelaki sebanyak 5.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka itu berdasarkan laporan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) pada 7 Disember tahun lalu.

Begitupun menurutnya, peluang dan penglibatan ekonomi wanita adalah 38 peratus kurang daripada lelaki manakala penglibatan kaum hawa dalam pembinaan negara serta politik pula hanya 10.8 peratus berbanding lelaki.

Justeru, pemerkasaan wanita dalam segala aspek, terutamanya ekonomi dan politik, bukan lagi suatu pilihan tetapi suatu perkara asas yang harus menjadi garis ukur pembangunan sesebuah bangsa dan negara.

“Ketidakseimbangan antara keupayaan wanita dan peluang ekonomi serta politik yang ditawarkan sudah pasti memberi impak kepada situasi kewangan mereka.

“Penglibatan dan sumbangan wanita dalam perniagaan, pendidikan, sukan, seni, pentadbiran adalah luar biasa dan wajar terus diperakui,” katanya sempena perutusan Hari Wanita Sedunia pada Isnin.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Selangor membuktikan peranan wanita sama penting dan diiktiraf dengan mengemudi nakhoda pentadbiran kerajaan negeri melalui beberapa portfolio serta pengurusan, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi serta anak syarikat kerajaan negeri.

Malah katanya, Selangor juga pernah mempunyai Speaker Dewan wanita pertama di Malaysia.

Sebelum itu, Amirudin berkata, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dalam analisa bertajuk ‘Families on the Edge, Issue 3’, melaporkan 64 peratus isi rumah berpendapatan rendah yang diketuai wanita mengalami kesukaran membeli makanan asas.

Justeru, kerajaan negeri mengumumkan penambahan 5,000 penerima Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) yang memberikan mereka RM2,400 setahun untuk menampung keperluan asas keluarga.

“Selangor akan terus mengorak langkah memperjuang agenda Pengarusperdanaan Gender dan memastikan akses, peluang serta harapan wanita terbela di negeri merah kuning ini.

“Setiap lapisan masyarakat di Selangor, sama ada komuniti perniagaan, pentadbiran kerajaan, ataupun institusi keluarga, harus bekerja sebagai satu pasukan untuk memecahkan ‘artificial ceiling’ yang menyekat kemaraan wanita supaya kita menggembleng tenaga agar potensi sebenar kita secara dapat direalisasikan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!