Agenda pemerkasaan wanita

Rina
Rina
A
A
A

TEMA ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ secara tidak langsung mampu meningkatkan semangat kaum hawa mencipta nama di negara mahupun antarabangsa.

Dengan kehebatan luar jangkaan yang mampu dihasilkan, wanita kini tidak lagi boleh dipandang enteng dan direndahkan martabat mereka.

Pemerkasaan wanita perlu diperhebat bagi menghalang segala diskriminasi dan berat sebelah yang dilakukan kepada kaum tersebut agar kehebatan serta kebijaksanaan mereka dapat ditonjolkan.

Wanita bukan seperti yang disangka, malahan mereka mampu menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan.

Ikuti laporan Sinar Harian mengenai kejayaan yang dikecapi golongan wanita dalam pelbagai bidang yang diceburi sempena Hari Wanita yang disambut hari ini.

No Image Caption

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneruskan agenda untuk mengangkat lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, isu kepimpinan wanita masih belum disambut sepenuhnya oleh semua pihak.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun statistik wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam telah melebihi sasaran 30 peratus dengan angka 37.3 peratus pada tahun 2020, tetapi ia tidak harus terhenti di situ sahaja.

“Di sektor swasta pula menunjukkan hanya terdapat 17.2 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan perkara ini perlu diberikan perhatian,” katanya pada wawancara khas sempena sambutan Hari Wanita 2021 di kementeriannya di sini pada Jumaat.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, seruan untuk memastikan peningkatan wanita sebagai pembuat keputusan itu bukanlah sebagai halwa mata yang melihat kepada peningkatan angka semata-mata.

Tetapi katanya, beberapa kajian telah membuktikan bahawa penyertaan wanita sebenarnya boleh menyumbang kepada tadbir urus organisasi yang lebih baik.

“Paling penting adalah wanita boleh menyuntik kepelbagaian dalam proses membuat keputusan bagi memastikan keperluan wanita di lapangan diambil kira,” katanya.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Wanita 2021 yang bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, Rina berkata, tema itu diangkat selari dengan kempen di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, kempen tahun ini mengajak semua pihak untuk terus bersama-sama menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi dan berat sebelah yang menghalang agenda pemerkasaan wanita.

No Image Caption

Cabaran

Katanya, ia juga menyokong ke arah memastikan penyertaan wanita yang lebih inklusif dalam pelbagai bidang.

“Keupayaan wanita jelas terserlah dalam tempoh negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Ini terbukti dengan sumbangan dan penglibatan wanita berganding bahu, bangkit bersama dengan golongan lelaki mendepani cabaran dan mencurah bakti sebagai petugas barisan hadapan di kala negara berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dirangka bagi memeriahkan lagi hari khusus untuk wanita yang disambut hari ini.

Katanya, selain majlis perasmian yang akan disambut secara dalam talian, aktiviti lain di peringkat kebangsaan dan negeri turut dilaksanakan dalam suasana norma baharu.

Sementara itu, ditanya mengenai inisiatif diambil KPWKM dalam menyokong psikososial wanita, Rina berkata, pihaknya telah mengambil langkah memantapkan operasi Talian Kasih sebagai talian bantuan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, langkah itu diambil kerana menyedari bahawa golongan wanita merupakan antara golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.

“Berdasarkan statistik panggilan, berlaku peningkatan mendadak bagi jumlah panggilan pada tahun 2020 iaitu 153,024 berbanding 25,868 pada tahun 2019.

“Operasi Talian Kasih telah diperluas menjadi sumber aduan dan pertanyaan rakyat berkaitan bantuan kebajikan,” katanya.

Tambahnya, Talian Kasih juga telah memperkenalkan perkhidmatan Tele-Kaunseling pada 25 Mac 2020 dengan penglibatan seramai 784 orang kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia bagi menangani panggilan berkaitan masalah keluarga, tekanan, anxiety, panic attack dan memerlukan sokongan emosi.

Susulan itu katanya, KPWKM menjalinkan kerjasama strategik bersama 60 NGO untuk meningkatkan fungsi dan kebolehcapaian Talian Kasih.

“Selain itu, bagi memantapkan lagi penyampaian informasi dalam talian, KPWKM turut memperkenalkan Akademi Keluarga Sejahtera (AKS).

“AKS merupakan platform yang menyampaikan input dan kandungan berkenaan dengan pemantapan institusi kekeluargaan,” katanya.