X

Kindly register in order to view this article
!

Iktibar Kabinet perang Britain

A
A

KRISIS kepimpinan negara akibat keputusan segelintir ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencetuskan darurat.

Proklamasi Darurat tidak meredakan perbalahan politik ini apabila UMNO pada mulanya dikatakan akan menarik diri daripada kerajaan pada akhir Januari lalu. Namun, ia terhalang dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menolak cadangan tersebut.

Usaha sebahagian dalam UMNO untuk menjatuhkan kerajaan pada masa kini dan menggesa pilihan raya umum segera diadakan masih berterusan. Mereka turut menggesa diadakan sidang Dewan Rakyat walaupun dalam keadaan darurat dipercayai bagi menjatuhkan Muhyiddin melalui undi tidak percaya.

Dalam senario politik sebegini, sukar kita melihat politik negara kembali stabil dan mempunyai integriti. Ada cadangan diadakan pelantikan Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO agar kerjasama itu dapat diperkukuhkan.

Sebahagian penyokong UMNO pula percaya nasib parti tersebut tidak akan lebih baik jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Dilema Kabinet darurat ini mengingatkan penulis mengenai krisis politik Britain dalam era Perang Dunia Kedua. Dalam satu perbahasan panjang di Dewan Rakyat Britain mengenai Perang Dunia Kedua pada 9 Mei 1940, undi tidak percaya dikemukakan ke atas Perdana Menteri, Neville Chamberlain daripada parti Konservatif.

Chamberlain ketika itu mengetuai Kabinet atau Kementerian Perang telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat untuk mengekalkan jawatannya. Namun, jumlah sokongan merosot teruk kerana sebahagian wakil parti pemerintah Konservatif mengundi menyokong undi tidak percaya tersebut.

Akibat keputusan yang tidak memberangsangkan, Chamberlain meletak jawatan 10 Mei 1940. Winston Churchill dilantik Perdana Menteri baharu mengetuai Kabinet perang Britain. Chamberlain mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri namun kekal sebagai pemimpin Parti Konservatif dan sebahagian Kabinet Perang. Churchill mengetuai kerajaan gabungan parti Konservatif dan Buruh untuk sebahagian besar Perang Dunia Kedua dari 10 Mei 1940 hingga 23 Mei 1945.

Kabinet sepanjang tempoh itu, Churchill telah membentuk Kabinet Perang lima orang. Clement Atlee merupakan pemimpin parti Buruh yang dibawa masuk dalam Kabinet Perang Churchill sebagai satu langkah perdamaian politik dalam suasana perang.

Beliau dijadikan Timbalan Perdana Menteri Britain. Keanggotaan Kabinet Perang kemudiannya berubah daripada lima orang kepada lapan orang. Kabinet Perang ini ber-akhir pada Mei 1945 apabila parti Buruh menarik diri daripada kerajaan sebaik sahaja Jerman kalah dalam Perang Dunia Kedua di Eropah.

Timbalan Perdana Menteri, Clemente Atlee, atas desakan pemimpin partinya telah mengumumkan Buruh menarik diri daripada Kabinet dan mahu menumpukan kepada persediaan pili-han raya umum. Akibatnya, Churchill mengumumkan peletakan jawatannya, namun diminta oleh Raja untuk membentuk kerajaan sementara sehingga pilihan raya diadakan. Churchcill kekal sebagai Perdana Menteri sehingga 26 Julai 1945 apabila pengundian pemilihan kerajaan baharu diadakan.

Pada pilihan raya 1945, parti Buruh pimpinan Clement Atlee telah berjaya memenangi pilihan raya umum dan membentuk kerajaan. Atlee menjadi Perdana Menteri. Banyak iktibar boleh diperoleh daripada Kabinet perang Britain.

Pertama, Perdana Menteri boleh memainkan peranan lebih baik dengan membuat perubahan Kabinet termasuk melantik Timbalan Perdana Menteri bagi menstabilkan politik dalam perang menentang Covid-19.

Kedua, UMNO masih mempunyai peluang membuat kejutan pada pilihan raya umum seperti parti Buruh jika mereka menunjukkan sikap dan perilaku yang baik ketika darurat dengan membantu kerajaan menguruskan Covid-19 dengan baik dan menamatkan kerjasama apabila pandemik ini berakhir.

*AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!