Medac selamatkan koperasi tidak aktif

Penerima bantuan dan pembiayaan bergambar bersama Wan Junaidi selepas majlis berakhir.
Penerima bantuan dan pembiayaan bergambar bersama Wan Junaidi selepas majlis berakhir.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan membantu membangunkan semula 2,000 koperasi yang tidak aktif tetapi masih berpeluang untuk dikembangkan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan statistik sehingga Jun 2020, sebanyak 14,668 koperasi telah didaftarkan di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu hanya 9,300 koperasi didapati masih aktif manakala 2,000 lagi tidak aktif dan 3,000 berstatus 'dorman'.

"Menerusi transformasi yang dilakukan kerajaan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mengambil tindakan dan membantu dalam pelbagai sudut termasuk bimbingan serta kewangan.

"Sekiranya koperasi berkenaan tidak mempunyai peluang untuk dihidupkan semula mahupun digerakkan atau sebagainya ia akan dimansuhkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Oleh Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu.

Pada majlis itu, Wan Junaidi turut menyampaikan Pembiayaan TMP-SKM dan Tabung Bantuan Koperasi berjumlah RM4.09 juta kepada 17 koperasi di negeri Kelantan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh, Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad dan Pengerusi Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (Kowamas), Datuk Mohamed Farid Zawawi.

Wan Junaidi berkata, terdapat sesetengah pihak yang enggan menyerahkan koperasi mereka kepada pihak lain, namun demi menyelamatkan perniagaan sesuatu perlu dilakukan termasuk transformasi serta perubahan melibatkan pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berlaku peningkatan pendaftaran koperasi di Malaysia sekali gus menunjukkan perkembangan serta kesedaran masyarakat terhadap gerakan koperasi.

"Masyarakat kini sedar bahawa koperasi merupakan satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama semata-mata sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada anggota dan masyarakat," katanya.