Keputusan KPM atas dasar data, analisis

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan sebarang keputusan yang dibuat berhubung status operasi sekolah ketika pandemik Covid-19 adalah berdasarkan maklumat, data dan analisis keadaan semasa melibatkan pelbagai pihak, bukannya atas keputusan beliau semata-mata.

Beliau mengakui timbul reaksi dan maklum balas daripada masyarakat yang melabelkan keputusan dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas dasar ‘suka hati menteri’ dan flip flop, justeru beliau menyifatkan sentimen itu perlu diperbetulkan.

Jelas beliau, masyarakat perlu faham bahawa cabaran dihadapi KPM tidak pernah dilalui sesiapa pun, berbeza keadaan sebelum pandemik kerana pegawai dan kakitangan KPM berpengalaman meskipun menteri datang dan pergi.

“Kita lalui proses perbincangan yang mendalam dan diteliti satu persatu setiap perkara. Sebab itu, saya mengambil pendekatan asas bahawa kita membuat keputusan ini dengan niat yang ikhlas.

“Ia termasuk mengambil kira pelbagai latar belakang sosio ekonomi pelajar yang mempunyai risiko keciciran tinggi dan pada masa sama keselamatan adalah salah satu komponen paling penting.

“Tiada satu keadaan yang boleh puaskan hati semua pihak. Namun, berdasarkan maklumat, data dan analisis yang dibuat, kita buat apa yang terbaik. Sama ada orang nak marah atau tidak kepada menteri, saya mengambil tanggungjawab tersebut. Sebab itu, dari awal saya masuk ke KPM, saya bukan untuk jadi popular,” katanya dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin KPM pada Khamis.

Mohd Radzi berkata, tempoh setahun berdepan pandemik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 telah banyak mendewasakan KPM dalam membuat keputusan.

Menurutnya, mungkin banyak pihak yang memandang rendah terhadap usaha dan pendekatan dilakukan KPM, namun KPM akan terus bergerak melakukan yang terbaik berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.

Artikel Berkaitan:

“Dalam perang, tiada (istilah) keputusan flip flop tetapi setiap strategi pendekatan yang dibuat dalam keadaan krisis adalah berdasarkan analisis semasa.

“Tempoh setahun menangani krisis ini bukan sesuatu yang mudah. Alhamdulillah, banyak yang dipelajari dan banyak yang boleh ditambah baik. Insya-ALLAH, kita komited untuk terus bekerja keras memastikan kita dapat melonjakkan pendidikan negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi optimis memastikan DidikTV KPM mampu dimanfaatkan untuk jangka masa panjang meskipun operasi sekolah kembali normal kelak.

Menurutnya, sama ada sekolah dibuka atau ditutup ia masih boleh digunakan secara optimum dengan mengambil kira ketidakpastian yang boleh berlaku pada masa akan datang.

Perancangan “Jangan lihat sekolah dibuka, DidikTV akan terkubur. Keputusan untuk mewujudkan DidikTV sudah mengambil kira sekiranya penutupan sekolah berterusan atau jika sebahagian dibuka dan ditutup, atau dibuka sepenuhnya.

“Bukan semudah bangun pagi terus putuskan buat DidikTV. Perancangan ini ada tempoh jangka panjang untuk menyesuaikan kegunaannya dalam keadaan semasa, bahkan boleh digunakan sebagai sebahagian daripada pembelajaran di sekolah dan di rumah,” katanya.

Menyentuh mengenai inisiatif KPM melaksanakan pendekatan baharu, Mohd Radzi berkata, sistem pemarkahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah antara perkara yang bakal diteruskan.

“Kita lihat ia sebagai pendekatan cukup baik kerana dengan kaedah ini kita dapat memastikan pemeriksaan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan memenuhi tempoh diperlukan, selain integriti terjaga,” katanya.

Beliau mendedahkan KPM berdepan cabaran utama bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini apabila pendaftar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan & matematik (STEM) menunjukkan penurunan.

Justeru, KPM mengambil tanggungjawab dengan merangka tumpuan utama bagi memastikan ia diberi perhatian khusus agar pelajar dapat bersaing pada peringkat global.

“Pendaftar dalam bidang ini berkurangan. Perkara ini yang perlu diberi perhatian khusus,” katanya.