Apa selanjutnya UMNO-Bersatu?

Bersatu, Pas dan UMNO yang mempunyai penyokong tersendiri dalam kalangan orang Melayu mungkin bertembung sesama sendiri sekurang-kurangnya dalam pertandingan tiga penjuru.
Bersatu, Pas dan UMNO yang mempunyai penyokong tersendiri dalam kalangan orang Melayu mungkin bertembung sesama sendiri sekurang-kurangnya dalam pertandingan tiga penjuru.
A
A
A

UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diramal berdepan masalah untuk mendapatkan sokongan padu pengundi Melayu sekiranya masing-masing bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tanpa kerjasama sebagai satu gabungan, ketiga-tiga parti yang mempunyai penyokong tersendiri dalam kalangan orang Melayu itu mungkin bertembung sesama sendiri sekurang-kurangnya dalam pertandingan tiga penjuru.

Perpecahan undi Melayu itu dijangka menguntungkan parti pembangkang dan pernah dizahirkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, bahawa Pakatan Harapan (PH) hanya memerlukan sokongan 15 peratus undi Melayu untuk menang PRU15.

Felo Penyelidikan Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr Achman Dzarien Mohd Nazri berkata, perpecahan undi Melayu tidak dapat dielak tanpa kerjasama tiga parti politik utama itu.

“Sekiranya Bersatu juga memutuskan pendirian sama iaitu tidak bekerjasama dengan UMNO atau BN, sudah pasti berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Maka undi Melayu akan berpecah dan sukar untuk tiga parti ini menang dan pihak yang akan dapat manfaat ialah pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Ujar beliau, tidak mustahil tiga parti Melayu itu kembali bekerjasama selepas keputusan PRU15, sekiranya tiada gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Katanya, penjajaran baharu menerusi kerjasama politik sehingga terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh berulang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Dr Zaid Ahmad mengakui dominasi politik Melayu terencat susulan tindakan UMNO yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 akan datang.

“Ini juga membuktikan ada perkara dalaman yang tidak dapat untuk diselesaikan antara UMNO dan Bersatu. Ada ‘luka’ UMNO yang masih tidak boleh diubati,” katanya.

Namun, keputusan itu memberikan kelebihan kepada UMNO kerana parti itu mempunyai ekosistemnya sendiri berbanding Bersatu bagi berhadapan pilihan raya akan datang.

Ujar beliau, UMNO akan lebih selesa untuk membuat keputusan bagi meletakkan calon mereka bertanding di mana-mana kerusi pada PRU15 walaupun bakal berdepan dengan PN dan PH serta Bebas.

Bagi Bersatu pula, parti itu dijangka menghadapi kesukaran pada PRU15 kerana dilihat ‘banyak menumpang’ termasuk ketika bersama dalam pemerintahan PH sebelum ini.

Noor Nirwandy
Noor Nirwandy

Ahmad Zahid dipersalahkan

Penganalisis keselamatan dan politik daripada Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula melihat keputusan UMNO itu sebagai satu keputusan yang pramatang.

Menurutnya, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar dipersalahkan sekiranya dominasi politik Melayu Islam gagal dicapai disebabkan keputusan pramatang pemimpin tertinggi UMNO itu.

“Dominasi politik Melayu Islam masih relevan dalam formula perpaduan dan pembangunan negara kerana terbukti gabungan PH sebelum ini gagal untuk memenuhi kepentingan masyarakat Melayu dari segi dasar dan polisi sepanjang pentadbiran mereka.

“UMNO masih relevan dan perlu kekal dihormati oleh rakyat khususnya masyarakat Melayu dan keputusan Presiden UMNO itu berupaya memecahbelahkan UMNO,” katanya.

Tegas Noor Nirwandy, tindakan Ahmad Zahid akan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO serta wajar dipersalahkan sekiranya dominasi politik Melayu Islam gagal dicapai selepas PRU15.

Jayum Jawan
Jayum Jawan

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia yang juga penganalisis politik, Profesor Dr Jayum Jawan berkata, PRU15 bakal menyaksikan satu pertandingan hebat.

Katanya, banyak parti akan cuba bertanding di sebanyak mungkin kerusi atau kawasan.

“Ini penting kerana setiap parti atau campuran parti tahu bahawa kemenangan mereka dalam PRU15 nanti akan menentukan kedudukan mereka dalam proses pembentukan kerajaan selepas PRU 15.

“Saya tidak nampak proses bergabung antara parti sebelum PRU15 dan berbahagi jumlah kerusi di antara anggota untuk dipertandingkan dalam PRU15.

“UMNO tidak putuskan hubungan dengan Bersatu dalam PN sehingga tamat tempoh Parlimen sekarang. Justeru, kerajaan PN tidak goyang,” katanya.