Gesa pindah lokasi balak di Hutan Simpan Jerantut tambahan

Mohd Rosmani menjelaskan musibah banjir di Kampung Sungai Badak pada awal Januari lalu dan bimbang bencana lebih teruk berlaku jika operasi pembalakan diteruskan di kawasan berhampiran dengan penempatan penduduk.
Mohd Rosmani menjelaskan musibah banjir di Kampung Sungai Badak pada awal Januari lalu dan bimbang bencana lebih teruk berlaku jika operasi pembalakan diteruskan di kawasan berhampiran dengan penempatan penduduk.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa memindahkan lokasi kerja-kerja pembalakan di Kompartmen 1, Hutan Simpan Jerantut Tambahan, Jerantut yang diluluskan dua tahun lalu kerana berdekatan dengan penempatan dan punca air penduduk setempat.

Gesaan itu dibuat membabitkan lima kampung iaitu Kampung Baharu, Kampung Sungai Badak, Kampung Lata Kasah, Kampung Binjai dan Kampung Sungai Par.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Balak, Mejar (B) Mohd Rosmani Md Sharif berkata, penduduk setempat bimbang kesan yang akan diterima memandangkan kerja-kerja penebangan balak berdekatan dengan Sungai Teh dan penempatan penduduk di Kampung Sungai Badak sudah bermula.

Menurutnya, disebabkan itu semua wakil penduduk kampung bersetuju untuk membuat bantahan kerana bimbang berlaku musibah lebih teruk selepas kerja-kerja pembalakan dijalankan pihak berkaitan.

Peta menunjukkan kerja pembalakan diluluskan kerajaan Pahang di Kompartmen 1, Hutan Simpan Jerantut Tambahan, Jerantut berhampiran Sungai Teh dan kampung penduduk.
Peta menunjukkan kerja pembalakan diluluskan kerajaan Pahang di Kompartmen 1, Hutan Simpan Jerantut Tambahan, Jerantut berhampiran Sungai Teh dan kampung penduduk.

“Kawasan ini sangat sensitif, senang berlaku banjir. Pada awal Januari lalu di kawasan ini (Kampung Sungai Badak) sudah mengalami banjir teruk. Pada ketika itu kerja-kerja pembalakan masih belum bermula.

“Tapi pada 22 Januari lalu kerja-kerja balak sudah dimulakan. Kami bimbang akan berlaku musibah teruk kerana kawasan pembalakan itu sekitar 500 hingga 1,000 meter dari Sungai Teh dan Kampung Sungai Badak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Wisma Sri Pahang, di sini pada Khamis.

Mohd Rosmani yang mewakili penduduk di lima kampung menghantar memorandum bantahan pembalakan kepada wakil pejabat menteri besar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, memorandum bantahan itu dibuat supaya kerajaan Pahang menghentikan operasi pembalakan serta-merta.

Pada masa sama beliau juga mencadangkan agar kerajaan Pahang memindahkan kerja-kerja tersebut ke lokasi lain.

“Kalau tak silap, kami sudah kirimkan lapan pucuk surat kepada menteri besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), pengarah perhutanan negeri (Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin) dan kerabat diraja Pahang, tetapi maklum balas yang diterima tidak menyakinkan.

“Kami sebenarnya tidak halang tindakan kerajaan Pahang meluluskan projek pembalakan, tapi kami hanya minta kerajaan Pahang bincang dan pindahkan lokasi pembalakan ke kawasan berjauhan dengan penempatan penduduk serta punca air,” katanya.

Mohd Rosmani menjelaskan, penduduk di lima kampung itu kebanyakannya mengusahakan ternakan ikan sangkar, jadi sekiranya perkara ini tidak diselesaikan ia pasti mendatangkan masalah.

“Sebelum berlaku pencemaran air sungai kesan daripada pembalakan, adalah lebih baik jika kerajaan Pahang cuba selesaikan masalah ini.

“Kami harapkan ada satu keputusan secara menang-menang antara penduduk dan syarikat yang menguruskan balak selepas memorandum bantahan ini dihantar kepada kerajaan Pahang,” katanya.