KASA mohon RM150 juta selesai masalah banjir di Perak Tengah

Ahmad Masrizal (dua, kanan) ketika meninjau keadaan pam bergerak yang sedia ada di PPRT Rimba Raja sempena lawatannya pada Khamis.
Ahmad Masrizal (dua, kanan) ketika meninjau keadaan pam bergerak yang sedia ada di PPRT Rimba Raja sempena lawatannya pada Khamis.
A
A
A

PARIT - Kementerian Alam Sekitar dan Air akan memohon peruntukan RM150 juta di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi mengatasi masalah banjir di daerah Perak Tengah.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, permohonan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir Perak Tengah merangkumi Mukim Bota, Mukim Lambor Kanan dan Mukim Layang-layang.

Menurutnya, keadaan banjir yang melanda daerah itu sejak berpuluh tahun lalu adalah terlalu ekstrem dan di luar jangka, bukan setakat menjejaskan penempatan tetapi kerosakan tanaman seperti kelapa sawit dan sawah padi yang menjadi sumber pendapatan penduduk.

"Di Perak Tengah ini, ada banyak lokasi yang sering berdepan masalah banjir, antara yang dikenal pasti termasuklah Kampung Tanjung Bidara, Kampung Pisang, Kampung Raja, Kampung Buluh Akar, Kampung Sadang dan Serapoh.

"Untuk penyelesaian jangka pendek dan mengurangkan masalah banjir, saya telah mengarahkan JPS menyediakan pam bergerak.

"Namun sebagai penyelesaian jangka panjang, kementerian perlu mendapatkan peruntukan tambahan yang diangkat sebagai penyelesaian menyeluruh, bagi tujuan itu JPS akan membuat permohonan projek baharu di bawah RP2 RMK12 dengan kos keseluruhan dianggarkan RM150 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat kawasan Kampung Parit 14 dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Rimba Raja di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Masrizal berkata, keadaan banjir di Kampung Parit 14 dan PPRT Rimba Raja sekitar November 2020 dan Januari lalu bertambah buruk apabila pelepasan air sungai yang melimpah tidak dapat dilakukan dengan lancar.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan berlakunya banjir termenung yang menjejaskan kehidupan lebih 100 keluarga serta kerosakan lebih 500 hektar tanaman sawit dan sawah padi.

"JPS telah mengemukakan cadangan untuk membina empat rumah pam banjir kekal di kedua-dua kawasan itu selain membina ban pencegah banjir, pembinaan struktur alur masuk dan keluar, pengorekan sistem saliran utama serta pembinaan pintu air pasang surut (TCG).

"Kos keseluruhan bagi kerja-kerja pemasangan dan pembinaan ini akan melibatkan peruntukan RM13 juta dan kita jangkakan ia dapat dimulakan selewatnya tahun hadapan sebaik peruntukan berkenaan diluluskan," katanya.

Dalam lawatan itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air turut bersetuju meluluskan peruntukan segera RM500,000 kepada JPS Perak bagi menjalankan kerja-kerja naik taraf struktur tebing Sungai Senin yang mengalami hakisan teruk hingga merosakkan jalan perhubungan sedia ada.