X

Kindly register in order to view this article
!

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat padam sepenuhnya lima hari lagi

Pandangan dari udara kawasan kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di Tanjung Sepat, pada Khamis. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
A
A

KUALA LANGAT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjangkakan kebakaran di kawasan tanah gambut di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, dapat dipadamkan sepenuhnya lima hari lagi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya telah berjaya memadamkan 60 peratus kebakaran di kawasan tanah gambut di pinggir hutan simpan tersebut, sejak ia mula merebak hujung bulan lalu.

Menurutnya kawasan kebakaran tersebut melibatkan lapan kompartmen 7,12,13,14,15,16,17 dan 20 seluas 40.46 hektar.

“Sehingga kini pihak kami telah berjaya memadam kebakaran di kompartmen 13 dan 15. Kompartmen 12 dan 14 juga hampir berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, pada Khamis.

“Kami jangka dalam tempoh hari lagi, kebakaran akan dapat dipadamkan jika tiada perebakan di kawasan baharu,” katanya.

Norazam berkata, sebanyak 135 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi antaranya bomba, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM), telah digerakkan dalam op khas bermula 28 Februari lepas.

Mengenai program suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekitar 80 peratus pegawai dan anggotanya divaksin bagi suntikan fasa pertama, yang merangkumi mereka yang bertugas di lapangan dan terdedah dengan ancaman Covid-19.

“Seramai 895 senarai nama pegawai dan anggota fasa pertama telah diberi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk divaksin. Namun hanya 170 mereka yang sudah ditetapkan tarikh suntikan bagi fasa pertama ini. Mereka akan disuntik secara berperingkat bermula 16 Mac ini sehingga awal April ini,” katanya.

Katanya, ia akan melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor pada 16 Mac, BBP di PKD Petaling (18 Mac); BBP di PKD Klang (pertengahan Mac sehingga awal April); BBP di PKD Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat (awal April). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!