Ibu kandung Nur Qaseh dicari untuk daftar sekolah

Husin bersama Nur Qaseh berharap agar ibu kandung dan waris anak angkatnya itu dapat ditemui.
Husin bersama Nur Qaseh berharap agar ibu kandung dan waris anak angkatnya itu dapat ditemui.
A
A
A

KULAI - Sepasang suami isteri di Taman Saga, di sini meminta orang ramai untuk mencari ibu kandung dan waris anak angkatnya bagi memudahkan mereka menguruskan proses mengambil anak angkat seterusnya membolehkan urusan persekolahan dapat diselesaikan.

Hussin Yusof, 48, berkata, Nur Qaseh, 7 tahun menjadi anak angkatnya ketika berumur dua hari.

"Sewaktu saya berniaga burger di hadapan rumah di Taman Saga, Kulai, saya didatangi seorang lelaki meminta saya menjaga bayi tersebut sebentar.

"Kasihan melihat bayi yang berbalut kain itu, saya ambil untuk dijaga, namun lelaki itu tidak kembali semula. Saya segera buat laporan polis selepas itu," katanya.

Husin yang merupakan pekerja swasta berkata, dia dan isteri Ropeah Mansor, 46, kemudiannya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) untuk mendapatkan kebenaran menjaga bayi berkenaan.

"Saya dan isteri mengambil keputusan untuk jaga bayi itu. Kami dibenarkan jaga bayi itu dan menguruskan pendaftaran bagi mendapatkan sijil kelahirannya.

"Kehadiran bayi yang dinamakan Nur Qaseh cukup membahagiakan saya dan isteri walaupun kami sudah memiliki lima orang anak berusia 15 hingga 26 tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Husin berkata, Nur Qaseh mempunyai sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi kini memerlukan surat pengesahan anak angkat daripada JKM yang memerlukan persetujuan ibu kandungnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berharap agar ibu kandung serta waris Nur Qaseh dapat ditemui supaya hak penjagaan anak angkatnya sah sekali gus urusan persekolahan dapat diselesaikan.

Ibu kandung Nur Qaseh dan sesiapa yang mengetahui waris kanak-kanak itu boleh menghubungi Husin di talian 011-4045 3656.