X

Kindly register in order to view this article
!

Sembilan pelajar lari asrama ditemui semula

A Asmadi
A
A

IPOH - Seramai sembilan pelajar lelaki sebuah pertubuhan anak yatim di Chemor di sini berjaya ditemui semula selepas 10 jam melarikan diri dari asrama berkenaan pada Rabu.

Kehilangan mereka disedari oleh kakitangan pertubuhan itu ketika mahu mengejut pelajar untuk solat Subuh berjemaah kira-kira jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, maklumat awal yang diterima, kesemua remaja berusia 10 hingga 14 tahun itu dikesan keluar tanpa kebenaran.

"Semakan daripada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mereka keluar melalui pintu kanan yang tidak berkunci pada jam 4 pagi.

"Sebaik menerima makluman itu, usaha mencari dijalankan oleh pentadbir dan anggota Balai Polis Tanah Hitam di kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit bagaimanapun ditemui di dua lokasi berbeza sekitar jam 2.15 petang.

"Lima pelajar ditemui di kafe siber di kawasan Klebang Putra berhampiran, manakala empat yang lain dikesan berada di Stesen Bas Kuala Kangsar.

"Mereka ada menghubungi keluarga untuk mengambil mereka. Pihak polis peronda (MPV) yang kebetulan menerima maklumat itu menemui dua pelajar, manakala dua lagi dipercayai telah balik ke rumah keluarga," katanya.

A Asmadi berkata, siasatan awal mendapati punca pelajar terbabit bertindak demikian kerana disiplin yang ketat dan dimarahi penjaga asrama.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kesan kecederaan fizikal. Tiada elemen penderaan ditemui.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Keganasan Rumah Tangga dan Penderaan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh,” katanya.

Sementara itu, pengetua pertubuhan terbabit ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu mengesahkan kejadian itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!