MBSA rai anak yatim, berbuka puasa bersama masyarakat

Majlis penyerahan sumbangan kepada anak yatim dari rumah anak yatim tersebut disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.
Majlis penyerahan sumbangan kepada anak yatim dari rumah anak yatim tersebut disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meraikan anak-anak yatim dari Rumah Amal Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, Seksyen U6 sempena majlis berbuka puasa di Daratan Shah Alam.

MBSA dalam satu kenyataan memaklumkan majlis penyerahan sumbangan kepada 100 anak yatim dari rumah anak yatim tersebut disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Menurut MBSA, pemberian sumbangan adalah inisiatif MBSA untuk membantu golongan memerlukan sejajar komitmen menjadikan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin.

"Ia juga sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (SDG 3), Bandar dan Masyarakat Mampan (SDG 11), dan Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh (SDG 16)," katanya.

Pada masa sama, pihak MBSA turut menyediakan 1000 bungkus juadah iftar secara percuma kepada pengunjung yang hadir pada majlis berbuka puasa secara terbuka di atas jalan raya di Jalan Bandaraya.

Turut diadakan forum Ramadan, bacaan taranum al-Quran oleh Al Fadil Ustaz Mohd Azizi yang merupakan Imam Masjid Diraja Bukit Jelutong dan solat Maghrib, solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.

Menurut PBT itu, program itu juga merupakan platform MBSA untuk menyampaikan maklumat dan memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai keindahan dan fadhilat di bulan Ramadan.

"Ia juga merupakan komitmen berterusan pihak MBSA untuk mendekati masyarakat dan menjalinkan kemesraan terutamanya ketika menyampaikan dakwah.

"MBSA berharap program Iftar Bandar Raya Shah Alam ini dapat melahirkan masyarakat yang memiliki sahsiah diri mulia, berbudi pekerti, berhemah serta mewujudkan suasana keakraban dalam menjalani amal ibadat sepanjang Ramadan," kata kenyataan.