Terima kasih terima saya: Ikmal

 Ikmal Hisham Abdul Aziz
Ikmal Hisham Abdul Aziz
A
A
A

TANAH MERAH - Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz amat bersyukur dan berterima kasih di atas keterbukaan pimpinan PH yang akhirnya menerima beliau dan enam lagi bekas Ahli Parlimen Umno menyertai mereka.

Ikmal berkata, penyertaan beliau dalam Bersatu, adalah sebagai penguat semangat dan suara Melayu dalam Parlimen selain untuk terus membangunkan Tanah Merah.

"Saya memahami sensitiviti mengenai kemasukan saya dalam Bersatu ekoran sebelum ini saya merupakan bekas Ahli Parlimen Umno.

"Namun saya bersyukur akhirnya perjuangan saya untuk terus membangunkan Tanah Merah dan mahu menegakkan orang Melayu dan Islam akhirnya diterima oleh pimpinan pusat termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad,"katanya.

Beliau berkata, dalam perjuangan politik sebenarnya pemimpin itu sendiri tidak perlu terlampau taksub kepada parti namun harus kembali kepada wadah perjuangan mereka sendiri bagi terus membela nasib rakyat.

"Insya-ALLAH saya akan terus memberi kerjasama dengan pimpinan PH baik di pusat dan juga di Tanah Merah.

"Sebelum ini timbul isu saya dan pimpinan Umno Bebas yang keluar dari parti kononnya mahu buat 'pusingan U'.

"Ada yang buat andaian kami akan kembali kepada Umno,namun dakwaan itu tidak berasas dan kami masih utuh dan tidak membuat sebarang keputusan untuk kembali kepada parti itu.

Artikel Berkaitan:

Ikmal menambah, beliau menyokong dengan penuh, keikhlasan Tun Dr Mahathir sebagai pimpinan yang mahu membawa Malaysia dengan perjuangan baharu bagi memajukan dan memakmurkan negara.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan,tujuh Ahli Parlimen Umno diterima masuk sebagai ahli Bersatu semalam.

Kesemua mereka menerima kad keahlian Bersatu yang diserahkan sendiri oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh: Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin.