Identiti Pahang jadi inspirasi Kuantan Art Street

Warga Kuantan ceria bergambar berlatar belakangkan lukisan mural kehidupan masyarakat Orang Asli ketika mengunjungi Kuantan Art Street pada waktu malam yang dilimpahi lampu malam tadi. - Foto Bernama
Warga Kuantan ceria bergambar berlatar belakangkan lukisan mural kehidupan masyarakat Orang Asli ketika mengunjungi Kuantan Art Street pada waktu malam yang dilimpahi lampu malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Lukisan mural kisah rakyat dan identiti negeri Pahang menjadikan lorong belakang barisan kedai lama di Jalan Besar di sini yang sebelum ini kelam dan suram kini bertukar kepada suasana lebih ceria dan meriah dengan pelbagai warna selain dihiasi lampu bagi menghidupkan suasana waktu malam.

Semua itu merupakan hasil kerja 13 anak jati Pahang berusia antara 26 dan 52 tahun dikenali sebagai 'Projek 06', mengambil kod negeri di Jabatan Pendaftaran Negara yang bertungkus-lumus setiap hari sejak Disember 2020 bagi menyiapkan 'Kuantan Art Street' yang diharapkan akan menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Wakil kumpulan, Mohd Amer Farouk, 31, berkata, mural sepanjang 200 meter itu merupakan sebahagian daripada persiapan Kuantan dinaik taraf sebagai bandar raya, namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana susulan hujan berterusan awal tahun ini menyebabkan ia tidak dapat disiapkan sebelum pengisytiharan bandar raya pada 21 Februari lepas.

"Kerja melukis mural dimulakan dengan mengecat semula bangunan kepada warna putih supaya lukisan lebih mudah menonjol, namun hujan menyebabkan kerja terganggu hampir sebulan. Selain itu, kami juga perlu menggunakan kren pengangkut kerana ada melibatkan bangunan tiga tingkat yang turut sukar dilakukan dalam cuaca begitu.

"Walaupun masih belum siap sepenuhnya, lorong ini sudah menerima kehadiran pengunjung dan kami seronok apabila melihat keletah mereka semasa bergambar. Harapnya mereka lebih gembira apabila melihat hasil akhir yang dijangka siap dalam tempoh sebulan lagi," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Mohd Amer berkata, antara yang mencuit hatinya ialah melihat orang ramai beraksi dengan tali pada lukisan kerbau hitam menarik pedati berisi hasil laut, diilhamkan daripada masyarakat nelayan di Pantai Beserah di sini yang menggunakan khidmat haiwan itu sekitar tahun 70-an bagi memudahkan kerja.

Selain kerbau, turut mendapat perhatian ialah lukisan batik berwarna terang yang menggambarkan batik daripada teknik ikat yang popular di Cherating selain gambar aktiviti luncur ombak, memandangkan Pantai Cherating terkenal kepada peminat sukan lasak itu kerana ombaknya dikatakan boleh setinggi lima kaki.

Turut diabadikan di situ ialah paparan seorang lelaki memakai baju belang berwarna firus, putih dan hitam memasak burger dikenali sebagai Lan Burger, yang difahamkan membuka gerai burger pertama di bandar Kuantan pada tahun 1977, selain lakaran susuk tubuh tukang kasut khusyuk dengan kerjanya, panorama yang biasa dilihat di tepi-tepi kedai sekitar bandar di sini.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ahmad Fadzril Abdul Ruzsnan, 27, lukisan yang paling sukar dihasilkan ialah naga berwarna hijau pada bangunan setinggi tiga tingkat yang mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan, diinspirasikan daripada kisah rakyat Naga Sri Gumum yang diceritakan 'menghuni' Tasik Chini di Pekan, kira-kira 84 kilometer dari sini.

"Bonus dalam melukis naga ialah apabila bangunan itu mempunyai tangga berpusing di sebelahnya membolehkan kami menggunakannya sebagai badan naga. Namun ia juga menyebabkan kami perlu lebih teliti mengira kedudukan tangga supaya pergerakan naga tidak janggal, selain perlu disesuaikan dengan perincian sisik naga.

"Selain naga, satu lagi lukisan yang turut melibatkan bangunan tinggi ialah lukisan gajah... sudah pasti tidak lengkap bercerita mengenai Pahang jika tiada gajah kerana mamalia itu sebahagian identiti negeri ini," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, Azri Azahar, 31, berkata, tema pada bangunan kedai itu dibincangkan bersama ahli kumpulan sebelum 'diangkat' kepada pihak Majlis Bandaraya Kuantan bagi persetujuan mereka, selain melalui beberapa proses penambahbaikan supaya ia benar-benar mencerminkan identiti Pahang dan Kuantan khususnya.

Justeru, mereka yang berasal dari Kuantan dengan mudah dapat meneka maksud nombor 25,000 berwarna hitam putih sebagai poskod daerah ini, selain gambar kerang gergasi menggambarkan Taman Kerang, sebuah kawasan rekreasi berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, yang popular dalam kalangan penduduk setempat.

"Saya gembira apabila peniaga di sini mengatakan lorong belakang yang dahulunya gelap lebih hidup disebabkan lukisan kami. Malah, ada yang mengatakan keadaan kini lebih bersih, tiada lagi kelibat tikus berlari dan lebih selamat pada waktu malam dengan adanya lampu yang dihidupkan mulai jam 7 petang.

"Saya berharap lukisan kami juga membantu peniaga di sini memperoleh pendapatan lebih baik dengan kedatangan pelancong selepas lama terkesan dengan pandemik Covid-19. Bagi pengunjung pula, saya amat berterima kasih jika hasil seni kami dinikmati sebaiknya dan tidak menjadi mangsa vandalisme," katanya. - Bernama