Asri Hamidon dilantik Pengerusi DNB

ASRI
ASRI
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Asri Hamidon dilantik sebagai Pengerusi Digital Nasional Berhad (DNB) yang pertama.

Sementara itu, Augustus Ralph Marshall dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bersama tiga Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Seri Dr Yusof Ismail, Datuk Mohamed Shahril Tarmizi dan Datuk Muthanna Abdullah.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, gabungan profesional tersebut terdiri daripada mereka yang mengkhusus dalam sektor kewangan awam, penguatkuasaan telekomunikasi, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perundangan.

“Gabungan ini merupakan kombinasi kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk membina, memiliki dan menguruskan rangkaian 5G Malaysia untuk pelancaran komersial seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 18 Februari, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan membuat pelaburan berjumlah RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara.

Pelaburan itu dijangka mewujudkan sekitar 105,000 peluang pekerjaan. Usaha tersebut akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus atau special purpose vehicle (SPV) di bawah kerajaan.

Entiti itu akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G. Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G melalui model borong yang dirangka untuk memastikan ketelusan dan pelaksanaan yang lebih baik.

"Ia akan diuruskan berlandaskan kerangka governans yang sesuai, proses tender terbuka bagi pembangunan infrastruktur 5G, serta amalan terbaik global untuk memastikan pengurusan yang mantap.

"Semua pemain perkhidmatan telekomunikasi akan mendapat akses terbuka, adil dan setara di dalam mendapatkan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk pembangunan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Tengku Zafrul, rangkaian tersebut perlu dilaksanakan secara sistematik dan profesional bagi memacu inisiatif pertumbuhan negara melalui MyDigital.

“Ini bertujuan memastikan kemajuan sosio-ekonomi dan kerangkuman bagi semua rakyat Malaysia,” kata beliau.