X

Kindly register in order to view this article
!

Tan Sri, Datuk terlibat kartel dadah tak boleh lari: KPN

Abdul Hamid merasmikan Penutup Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1 2020 di lapang sasar utama Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta pada Isnin.
A
A

IPOH - Individu kenamaan bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki terlibat dalam kegiatan kartel dadah telah mendalangi lebih daripada lima kumpulan sindiket di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu telah lama berada dalam pemerhatian polis, namun berdepan kesukaran untuk mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan penglibatan mereka.

"Mereka sebenarnya tak boleh lari pun kerana data dan maklumat itu kita sudah ada, saya difahamkan terdapat lebih daripada lima sindiket didalangi oleh VVIP ini. InsyaAllah kita pasti akan dapat ambil tindakan.

"Ini bukan amaran kosong kerana tangkapan ke atas mereka-mereka yang menjadi dalang utama sindiket ini perlu dibuat.

"Jika tidak sia-sia sahaja operasi demi operasi yang kita lakukan dengan kejayaan menumpaskan sindiket di seluruh negara kerana yang ditangkap dan didakwa adalah orang-orang di lapisan bawah, tetapi mereka yang di atas masih terlepas," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1 2020 di lapang sasar utama Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali; Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Malaysia, Profesor Dr Juli Edo.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pendedahan yang dibuat berkaitan penglibatan Tan Sri dan Datuk itu bukan bertujuan merosakkan rancangan operasi sedia ada sebaliknya untuk berkongsi kepada masyarakat akan keseriusan ancaman dadah di negara ini.

Katanya, ancaman dadah pada masa ini cukup berat dan polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menjalankan operasi setiap minggu dengan kejayaan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit.

Bagaimanapun jelasnya, keanggotaan sedia ada ketika ini adalah kurang dan perlu ditambah bagi memastikan jenayah dadah dapat ditangani dengan berkesan.

"Kerana itu sudah berkali-kali saya rayu agar penjawatan dalam polis khususnya narkotik ini ditambah terutama apabila ada ancaman yang mendadak naik.

"Sekiranya saya perlu menyediakan tujuh dulang hati nyamuk sebagai syarat untuk kelulusan itu (pertambahan anggota polis), saya sanggup sediakan kerana saya tidak mahu dituduh sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani masalah dadah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!