X

Kindly register in order to view this article
!

SPRM gagal lucut hak wang RM2.7 juta milik UMNO Selangor

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang berjumlah RM2,738,525.08 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon terhadap badan politik itu sebagai responden.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram selain wang yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah lama habis digunakan.

“Pihak pemohon juga tidak mencabar akaun-akaun dan penyataan yang dikemukakan dalam afidavit responden. Mahkamah dapati pemohon gagal membuktikan bahawa wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim itu.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap UMNO Negeri Selangor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!