75 PATI ditahan, Imigresen gempur setinggan di Tawau

Antara PATI yang ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen yang sah dalam Operasi Bersepadu di penempatan setinggan di sekitar Tawau.
Antara PATI yang ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen yang sah dalam Operasi Bersepadu di penempatan setinggan di sekitar Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seramai 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia menggempur penempatan setinggan dalam operasi bersepadu di sekitar daerah ini pada Sabtu lalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Muhammad Sade Mohamad Amin berkata, operasi itu dilaksanakan kira-kira jam 11.30 malam melibatkan seramai 117 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan.

"Tiga lokasi digempur dalam operasi ini adalah kawasan penempatan setinggan iaitu Kampung Sungai Buaya, Kampung Pasir Putih dan rumah kongsi Bayan Batu 8, Jalan Apas.

"Seramai 250 warga asing dan PATI diperiksa dan daripada jumlah itu, 75 orang ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, semua yang ditahan didapati warga Filipina dan Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Muhammad Sade berkata lagi, kesemua mereka kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut.

Tambahnya lagi, operasi itu dilaksanakan bertujuan mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap penempatan haram 'Colonial PATI'.

"Dalam masa yang sama Imigresen juga akan melaksanakan tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati menjadi dalang di sebalik kehadiran dan penempatan PATI di lokasi sasaran," katanya.

Artikel Berkaitan: