X

Kindly register in order to view this article
!

Produk Jasmin7 semakin dikenali

Osman bersama produk cecair pencuci pakaian yang dihasilkan oleh syarikatnya sejak 2012.
A
A

RANGKAIAN produk Jasmin7 hasil keluaran perusahaan anak tempatan, Osman Nordin Enterprise saban hari semakin dikenali pengguna sejak mereka memulakan operasi pada tahun 2009.

Sehingga kini, perusahaan itu mempunyai 11 rangkaian produk terdiri daripada cecair pencuci pakaian, pelembut, pewangi, haruman seterika pakaian, cecair pembasmi kuman dan beberapa lagi.

Menceritakan mengenai permulaan operasi perusahaan itu, pengasasnya, Osman Nordin,44, berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya hanya fokus untuk memasarkan produk cecair pencuci pakaian menerusi jualan dari but kereta di sekitar Stadium Shah Alam.

“Alhamdulillah, bermula dari situ, produk ini semakin diterima dan kami mula daftar syarikat serta menyewa premis di sekitar Seksyen 27 untuk mengembangkan lagi perniagaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak memulakan perusahaan itu, Osman berkata, dia cuba untuk memenuhi semua permintaan pelanggan dengan menghasilkan pelbagai variasi bauan pada setiap produk mereka yang tidak menggunakan sebarang kandungan lemak haiwan.

Osman sentiasa memastikan kualiti produknya terjamin untuk kepuasan penggunanya.
Osman sentiasa memastikan kualiti produknya terjamin untuk kepuasan penggunanya.

Selain itu, anak kelahiran peneroka Felda Pekan, Pahang ini juga memaklumkan produk mereka juga turut mendapat pengiktirafan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami mempunyai pasukan yang sentiasa menjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan kualiti produk terjamin dalam memenuhi citarasa serta permintaan pelanggan,” katanya.

Sasaran jualan

Dalam pada itu, Osman berkata, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan untuk meraih peningkatan hasil jualan dengan jumlah sekitar RM10 juta berbanding sasaran RM6 juta pada tahun lalu.

Beliau berkata, sasaran peningkatan hasil jualan ini dijangka dapat dicapai menerusi beberapa pelan strategi yang dirangka oleh pengurusan syarikat pada tahun ini.

“Antara usaha yang dilaksana bagi meningkatkan hasil jualan ialah dengan melantik beberapa ejen dari Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan pemerhatian, berlaku peningkatan secara mendadak hasil jualan menerusi ejen-ejen ini sekitar 20 peratus sejak awal tahun ini,” katanya.Ketika ditanya mengenai cabaran untuk kekal bertapak sejak serangan pandemik Covid-19, Osman berkata, perniagaannya terkena tempias dengan penurunan hasil jualan sekitar 40 peratus sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Osman bersama produk-produk hasil keluaran syarikatnya.
Osman bersama produk-produk hasil keluaran syarikatnya.

Namun, pihaknya berjaya mengharungi cabaran tersebut menerusi beberapa pendekatan baharu yang diambil bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Secara perlahan-lahan, hasil jualan kami telah kembali meningkat dan pulih pada kadar sekitar 85 hingga 90 peratus hasil jualan,” katanya.

Selain menggunakan lantikan ejen, Osman berkata, pihaknya juga aktif memasarkan produk menerusi platform digital.

Osman berkata, sehingga kini, pihaknya mempunyai seramai 1,000 ejen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kami juga membuka peluang kepada mana-mana pihak yang terkesan dan hilang sumber pendapatan sejak penularan Covid-19 untuk bersama-sama kami,” katanya.

Terokai bidang baharu

Dalam usaha bagi mengembangkan lagi perusahaannya itu, Osman berkata, pihaknya juga kini mula aktif dalam menerokai bidang percetakan sejak akhir tahun lalu.

Selain untuk menampung permintaan sendiri, Osman berkata, perusahaan percetakan itu juga diusahakan berikutan syarikatnya sebelum ini turut menerima banyak permintaan daripada pihak luar.

Untuk tempoh dua tahun akan datang, Osman berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk mengembangkan produk mereka ke pasaran Asia.

Bagaimanapun, dia berkata, buat masa ini pihaknya akan lebih memberi fokus untuk memperhebatkan lagi pasaran jualan di Sabah dan Sarawak terlebih dahulu.

“Memang sudah ada perancangan sebelum ini namun ia terpaksa diteliti semula ketika ini susulan penularan Covid-19,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!