X

Kindly register in order to view this article
!

Kumpulan pertama 'frontliners' Hospital Labuan divaksin

Kumpulan pertama 150 petugas barisan hadapan Hospital Labuan menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bermula pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

LABUAN - Kumpulan pertama 150 petugas barisan hadapan Hospital Labuan menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bermula pada Ahad.

Program vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu dimulakan dengan Pengarah hospital itu, Dr Adnan Musa Balidran menerima suntikan berkenaan di pekarangan hospital disaksikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

“Ini adalah objektif kami untuk memastikan petugas barisan hadapan kesihatan di kawasan kritikal di hospital ini, bebas COVID-19 dan ini juga untuk kepentingan orang awam dan pesakit kami,” kata Dr Ismuni di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Labuan di sini pada Ahad.

Baki 450 petugas barisan hadapan di Hospital Labuan akan disuntik secara berperingkat bermula esok.

Sementara itu, beberapa anggota pelbagai pangkat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen turut kelihatan berada di Pusat Pemberian Vaksin di Klinik Kesihatan Membedai pada Ahad.

Kumpulan pertama 4,680 dos vaksin Covid-19 untuk Labuan selamat tiba di Terminal Feri Ro-Ro Labuan pada Jumaat dan fasa pertama membabitkan sejumlah 2,340 petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, pemimpin tempatan dan wakil media yang bertugas di Labuan.

Fasa pertama akan dilaksanakan hingga April diikuti fasa kedua hingga Ogos (untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan yang mempunyai masalah morbiditi serta orang kurang upaya (OKU)) manakala fasa ketiga akan bermula pada Mei ini hingga Februari tahun hadapan.

Program imunisasi itu akan meliputi kira-kira 103,000 jumlah penduduk di Labuan dan dijadual dilaksanakan hingga Februari 2022. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!