Pas puji MB Perak

SAIFULLAH AHMAD & NORMAWATI ADNAN

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A
IPOH - Pas menyifatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai seorang pemimpin yang mempunyai kesungguhan politik tersendiri tanpa tunduk kepada mana-mana desakan.

Perkara itu dirujuk Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) berhubung beberapa inisiatif yang diumumkan dalam pembentangan Bajet Negeri 2019, semalam menyentuh isu tanah rizab dan skim penempatan perumahan masyarakat setempat (PPMS).

Razman berkata, Adun Chenderiang itu tanpa bersifat rasis atau perkauman membela nasib penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan tanah rizab kerajaan di sungai dan kereta api termasuk di Dun terbabit yang hampir 100 peratus penduduk Melayu.

"Hampir 100 peratus bangsa saya (Melayu) juga tinggal dalam skim perumahan, dengan keadaan hari ini, saya penuh bangga apabila penduduk daripada pengundi saya di PPMS Lembah Beriah memiliki lesen sementara antaranya Kampung Jaya dan Kampung Selamat.

"Bagi pihak Pas, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada beliau, syabas dan tahniah atas political will yang ALLAH anugerahkan kepadanya," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sambil mesra memanggil Ahmad Faizal dengan gelaran adinda, Razman berkata, adalah lebih baik sekiranya kesungguhan politik itu dapat disatukan dengan matlamat perjuangan parti yang sama.

"Alangkah indahnya kalau adinda boleh mari ke sebelah sini, sama-sama kita membela bangsa dan negara kita," katanya.

Dalam pembentangan bajet semalam, Ahmad Faizal berkata, pemilik Lesen Menduduki Sementara (TOL) yang tinggal di kawasan sempadan pantai di daerah Kerian, Larut Matang, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk serta tanah-tanah rizab kerajaan yang tidak lagi digunakan akan diberikan hak milik secara berperingkat.