X

Kindly register in order to view this article
!

Cungkil potensi diri graduan

A
A
PANDEMIK Covid-19 adalah krisis global yang melanda bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Peningkatan kes Covid-19 dilihat bertambah dari sehari ke sehari.

Antara kesan yang dirasai masyaratat dunia amnya dan Malaysia khasnya adalah perubahan gaya kehidupan kepada satu peraturan atau norma baharu yang perlu diikuti bagi mengekang penularan Covid-19.

Perubahan daripada krisis itu juga memberi kesan kepada peluang penawaran pekerjaan akibat ketidakstabilan ekonomi yang berlaku di dunia.

Cabaran peluang pekerjaan kepada graduan tahun ini menjadi lebih kritikal berbanding kesan kejatuhan ekonomi dunia yang lalu. Keadaan itu juga dilihat sebagai tekanan yang bakal dialami semua graduan yang baru menamatkan pengajian sama ada pada peringkat sarjana muda mahupun sarjana.

Sebagai seorang graduan, mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan akademik adalah perkara yang diimpikan. Malangnya keadaan itu sukar berlaku disebabkan krisis kesihatan yang melanda dunia, menyebabkan kurangnya penawaran pekerjaan daripada pelbagai agensi, syarikat dan organisasi buat masa ini.

Namun, kajian yang dilakukan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pada 2019 telah menunjukkan bahawa pertumbuhan pesat terhadap kerjaya secara freelance seperti pembangun web, pengaturcara, pemasar internet, penterjemah, pakar keselamatan digital, penasihat undang-undang, penyunting video, penulis dan pelakon suara yang wajar direbut oleh graduan berdasarkan kepada potensi serta minat mereka.

Kelulusan akademik yang diperoleh tidak sepenuhnya menjamin peluang pekerjaan yang berkaitan dengan pencapaian akademik graduan.Sesuatu yang lebih baik jika kerjaya seseorang graduan itu dibina melalui potensi dan minat diri sendiri

Ahli psikologi telah berjaya mengenal pasti keperluan pelbagai jenis alat pengukuran psikologi yang boleh membantu individu mencari dan mengenal pasti apakah potensi diri dan minat seseorang terhadap jenis pekerjaan yang bersesuaian dengan dirinya.

Lebih-lebih lagi ketika Covid-19 melanda negara, graduan perlu melihat semula potensi yang ada pada diri masing-masing untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran dalam bidang kerjaya.

Potensi diri adalah elemen yang sangat penting bagi membantu diri mereka melihat kelebihan diri sendiri dari sisi berbeza.

Kepercayaan pada potensi diri adalah perkara yang perlu diterokai kerana tidak semua orang mampu mencari kelebihan yang ada pada diri sendiri.

Contohnya, seorang graduan yang mempunyai kemahiran dalam bidang sains sosial kadangkala melihat diri mereka serba kekurangan kerana peluang pekerjaan dalam bidang itu agak terhad pada masa kini. Walhal, ia adalah persepi tidak benar kerana kelulusan akademik bukanlah penentu kejayaan graduan dalam pekerjaan yang dimohon.

Graduan perlu yakin dengan pelbagai potensi yang ada pada diri mengikut pada minat yang bersesuaian dengan tema umum dalam bidang pekerjaan seperti bidang penyelidikan/penyiasatan (investigative), perbantuan (helping), kebudayaan (artistic), keusahawanan (enterprising), penyusunan (conventional), dan praktikal (realistic).

Kesemua bidang umum pekerjaan ini boleh diterokai dengan mengenal pasti apakah potensi yang mereka ada untuk menentukan kesesuaian pekerjaan yang akan mereka pilih.

Potensi dan minat terhadap kerjaya akan membantu graduan membina kerjaya mereka sendiri tanpa perlu menunggu peluang pekerjaan daripada agensi kerajaan mahupun swasta.

Pada masa kini, pelbagai peluang kemahiran, bakat dan minat telah disediakan kerajaan sebagai salah satu usaha meningkatkan potensi diri graduan.

Selain daripada usaha Unit Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya di setiap universiti, graduan perlulah berusaha mencari sendiri potensi yang mereka ada dan menjadikan potensi itu sebagai satu aset dan kelebihan mereka dalam membina kerjaya masing-masing.

Oleh itu, berusahalah mencungkil potensi diri sebagai pemangkin untuk graduan mencipta kerjaya tersendiri.

* Prof Madya Dr Siti Rozaina Kamsani ialah Pengarah Pusat Kauseling Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!