UMNO sudah ada keputusan

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepimpinan UMNO sudah mempunyai keputusan berhubung hala tuju parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penilaian mengenai hala tuju itu sudah dibuat, namun ia bergantung kepada kepimpinan tertinggi parti tersebut.

"Saya fikir panduan ke arah membuat keputusan itu sudah ada, cuma kita lihat sentuhan kepimpinan dan kemahuan kepada kepimpinan di bawah.

"Apa yang penting semua ahli parti dan pemimpin mesti bersolidariti dan kekuatan dalaman parti adalah kekuatan utama parti serta diperkukuhkan dengan amalan kasih sayang antara satu dan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Sinar Ahad di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini baru-baru ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, UMNO perlu mempunyai satu pandangan yang dinamik dan jitu sebelum membuat sebarang keputusan.

Tegas beliau, perkara itu penting bagi menentukan sama ada parti itu berdiri di atas kaki sendiri pada PRU15 atau bersama pihak lain.

Bagaimanapun, Mahdzir menegaskan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang cukup berpengalaman dan matang serta telah berakar umbi di negara ini sejak 1946 lagi.

Artikel Berkaitan:

"Dalam soal ini saya tidak boleh dedah apa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tapi saya boleh katakan bahawa UMNO ada banyak pilihan sama ada secara solo, double atau triple antara perkara yang dibincangkan termasuk bersama dengan BN dalam kerajaan sekarang

"'Solo' bermaksud hanya Barisan Nasional (BN) sahaja, 'double' bermaksud bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dan 'triple' bermaksud UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kita sudah buat percambahan fikiran untuk melihat di mana sebenarnya yang boleh memberi keuntungan yang besar kepada kita.

"Sebab dalam politik ini yang paling penting kita hendak menang dalam pilihan raya. Mana-mana parti politik pun, dia nak menjadi kerajaan," katanya.

Pada 20 Februari lalu, MKT UMNO telah mengadakan mesyuarat di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU) di Janda Baik, Pahang.

Difahamkan mesyuarat itu membincangkan tentang hala tuju parti itu sama ada menjalinkan kerjasama dengan PN atau bergerak sendirian.

Pada Julai tahun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan MKT bahawa parti itu untuk tidak menyertai PN secara rasmi.

Katanya, UMNO akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan Pas dan parti komponen BN yang lain.

Sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan anggota Parlimen UMNO dan BN di Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di peringkat negeri.