Hishammuddin lakukan lawatan rasmi ke Brunei esok

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei Darussalam bermula esok sehingga Isnin (1 Mac).

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan lawatan itu atas undangan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Hishammuddin dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Menteri Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Awang Mohd Yusof sebelum menghadap Sultan Brunei.

“Kedua-dua pihak akan menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan istimewa sedia ada dan kerjasama pasca Covid-19 yang memberi manfaat kepada rakyat dua negara itu,” demikian menurut kenyataan itu.

Antara yang akan dibincangkan termasuk perkara berhubung mekanisme dua hala terutamanya mengenai Rundingan Pemimpin Tahunan, kerjasama dalam bidang perdagangan, sektor minyak dan gas, isu persempadanan darat serta kepengerusian ASEAN 2021 oleh Brunei.

Lawatan rasmi itu adalah lawatan pertama Hishammuddin ke Brunei sejak beliau dilantik menjadi Menteri Luar pada 10 Mac 2020.

Hishammuddin akan diiringi delegasi kecil yang terdiri daripada pegawai dari Wisma Putra dan lawatan itu dirancang serta dikendalikan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang amat ketat seperti ditetapkan kerajaan Brunei dan Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: