Terus patuhi SOP sehingga imuniti kelompok tercapai: KP Kesihatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 perlu terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) sehingga imuniti kelompok tercapai, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, segala pematuhan kepada SOP dan tindakan kesihatan awam wajar diteruskan meskipun aktiviti imunisasi Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula dilaksanakan.

Langkah membendung penularan wabak itu termasuk kawalan sempadan antarabangsa, pelaksanaan pelbagai SOP serta aktiviti ujian dan saringan Covid-19 serta tindakan lain akan dinilai dari semasa ke semasa seterusnya dibincangkan bersama dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara.

“Keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah misalnya adalah bergantung kepada penilaian beberapa faktor ini dan ia memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.

“Antara indikator utama yang digunakan dalam penilaian risiko ini adalah situasi semasa kes harian Covid-19, trend dan nilai semasa R-Naught (Rt), trend dan situasi semasa kematian akibat wabak, situasi penggunaan katil untuk kes Covid-19 (di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, hospital, katil unit rawatan rapi serta kes yang memerlukan bantuan pernafasan),” menurutnya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di sini pada Sabtu.

Indikator lain yang turut dinilai ialah situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti wabak dan aktiviti ujian makmal serta survelan Covid-19.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan akan mempertimbang kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid-19.

Fasa 1 PICK yang bermula 24 Februari lepas dijangka melibatkan pemberian suntikan vaksin itu kepada sejumlah 30,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: