'Saya tidak tahu bila vaksin Sinovac akan diluluskan'

Malaysia hari ini menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.
 - Foto Bernama
Malaysia hari ini menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.
 - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan beliau tidak tahu bila vaksin Sinovac keluaran China akan diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada bahagian itu membuat penilaian secara bebas tanpa sebarang tekanan.

"Jawapan saya jelas hari ini, saya tidak tahu dan saya tidak boleh tahu (bila) sebab NPRA buat kerja secara bebas dan berkecuali.

"Saya tidak boleh tanya NPRA bila hendak lulus, saya tidak boleh tanya Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bila hendak lulus.

"Jadi jawapan yang tepat dan menyenangkan hati rakyat ialah saya tidak tahu (bila vaksin Sinovac akan diluluskan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ketibaan Bekalan Kedua Vaksin Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, bahagian regulatori itu perlu diruang secukupnya untuk melaksanakan tugas mereka.

Ini kerana katanya, tiada jalan pintas yang boleh diambil dalam membuat kelulusan untuk vaksin itu kerana ia melibatkan keselamatan rakyat secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada apa-apa tekanan terhadap NPRA itu sangat penting. Barulah rakyat senang hati (untuk rakyat ambil suntikan vaksin)," katanya.