'Saya tidak tahu zaman bila punya cerita' - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, tawaran yang kononnya dibuat oleh pihak dalam kerajaan itu, tidak pernah di dengar dan berada di luar pengetahuannya.

"Saya tidak pernah dengar tawaran itu. Saya antara tiga individu yang banyak terbabit dalam soal perundingan Kerajaan Perpaduan selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Saya tidak tahu, zaman bila punya cerita ini. Tetapi apa yang boleh saya beritahu sepanjang saya terlibat dalam Kerajaan Perpaduan sehingga sekarang, saya tidak tahu langsung tawaran itu, kecuali ada sesiapa yang lain (buat tawaran)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) bersama Kerajaan Johor di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Media pada Sabtu melaporkan Abdul Hadi mendakwa tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju Pas.

Mengulas mengenai dakwaan Abdul Hadi bahawa kedudukan PKR tidak kukuh, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, perkara itu hanyalah pendapat Presiden Pas itu.

"Itu hanya pandangan beliau, namun perlu diingat Perdana Menteri daripada PKR dan parti kita adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.