Ejen insurans rugi RM252,074 ditipu sindiket pinjaman

Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang ejen insurans kerugian sebanyak RM252,074 dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman wang melalui carian Google baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 50 tahun itu mahu membuat pinjaman sebanyak RM200,000 namun diminta membuat bayaran untuk proses pinjaman tersebut.

Menurutnya, wanita dari Bertam Perdana, di sini itu memberi nombor telefon kepada sindiket tersebut selepas berminat dengan iklan pinjaman wang yang menggunakan nama sebuah bank di carian Google.

"Selepas mengisi nombor telefon di ruangan iklan tersebut, mangsa dihubungi suspek yang mendakwa sebagai kakitangan pihak syarikat pinjaman yang menawarkan pinjaman peribadi melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa kemudiannya bersetuju untuk membuat pinjaman wang bagi kegunaan peribadi namun telah diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran termasuk bayaran insurans sebagai wang proses permohonan pinjaman itu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Noorzainy berkata, mangsa terperdaya dengan muslihat sindiket tersebut selepas diberitahu pinjamannya telah diluluskan.

"Ahli sindiket tersebut memberitahu mangsa kononnya permohonan pinjamannya telah diluluskan namun dia perlu membuat bayaran memproses permohonan.

"Mangsa membuat 25 transaksi pindahan wang berjumlah RM252,074 ke 18 akaun bank seperti yang diarahkan. Bagaimanapun, mangsa masih diminta untuk buat tambahan bayaran lagi menyebabkan dia merasa ditipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mangsa meminta wangnya dikembalikan selepas mendapati dirinya ditipu apabila menghubungi pihak bank yang sebenar.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas gagal mendapat wangnya kembali. Dia menggunakan wang simpanan sendiri selain meminjam daripada rakan dan ahli keluarga untuk membuat bayaran seperti yang diarahkan ahli sindiket.

"Menurut mangsa, tujuan dia membuat pinjaman wang tersebut adalah untuk mengubahsuai rumah dan kegunaan sendiri. Sehubungan itu, polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.