Tubuh Jawatankuasa elak Tanah Simpanan Melayu susut
ALOR SETAR - Pentadbiran Tanah Negeri Kedah mewujudkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti tinggalan endosan atas hak milik Tanah Simpanan Melayu sebagai usaha mengelak berlakunya kehilangan tanah tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana ia bukan sahaja menyebabkan penyusutan keluasan Tanah Simpanan Melayu malah dapat mengelak keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, dengan adanya jawatankuasa ini, diharap dapat mengurangkan risiko selain mengekang pihak tertentu mengambil kesempatan atas kelemahan urus tadbir tanah.
“Satu pendekatan perlu diambil untuk imbangi keperluan pembangunan di Kedah tanpa perlu menjejaskan hak dan kepentingan Tanah Simpanan Melayu.
"Saya harap Pentadbiran Tanah Negeri dapat kenal pasti kaedah kawalan, agar pembangunan dengan penggunaan tanah pada kadar optimum, tidak mengorbankan status pemilikan itu,” katanya selepas pelancaran buku Kaedah-kaedah Tanah Kedah 2018, di Dewan Seri Mentaloon.
Mukhriz berkata, nilaian tanah tersebut juga harus meningkat seiring dengan pembangunan dan strategi pembangunan perlu dibangunkan secara bijak supaya pembangunan tidak mengorbankan dasar dan polisi sedia ada terutama melibatkan pemilikan orang Melayu.
“Sekiranya ada keperluan melepaskan status Simpanan Melayu, kita harus fikirkan kaedah terbaik agar dasar yang digubal tidak merencatkan pembangunan negeri, pada masa sama menjana pendapatan.
“Kedah satu-satunya negeri yang memiliki keluasan Tanah Simpanan Melayu terbanyak, hampir 80 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri. Kita harus menilai semula syarat berkaitan seperti lanjutkan tempoh pajakan namun hak milik kekal Melayu, untuk kepentingan dua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, status Tanah Simpanan Melayu kebanyakannya adalah tanah pertanian dan ini menghalang pembangunan kerana pasaran terhad kepada satu kaum sahaja.
“Ini mengakibatkan harga ditawarkan jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran sedangkan tahap pembangunan dalam kawasan Tanah Simpanan Melayu juga berdaya maju.
"Tetapi terhad kepada taraf ekonomi dan kuasa beli orang Melayu yang rendah berbanding kaum lain,” katanya.
Menurutnya, antara kaedah penyelesaian yang boleh diambil adalah melalui proses tukar ganti atau swapping Tanah Simpanan Melayu kepada Tanah Luar Simpanan Melayu.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri tidak teragak-agak melucutkan hak milik tanah yang mengusahakan ladang ketum.
“Pelbagai kaedah dibincangkan untuk ambil tindakan terhadap pengusaha ladang ketum, termasuk batalkan hak milik kerana melanggar syarat tanah.
"Asalnya syarat tanah pertanian untuk tanaman lain, tetapi ditanam ketum secara haram,” katanya.
Menurutnya, pelanggaran syarat itu boleh menyebabkan tanah milik pengusaha dirampas selepas diberikan amaran serta pokok terbabit dimusnahkan.
“Ada segelintir pihak bantah keputusan mengharamkan penanaman pokok ketum, namun kita harus pertimbangkan langkah pencegahan bagi elak kemudaratan.
"Ini kerana tanaman ketum tidak terkawal di Kedah, malah ada pokok ketum yang dieksport ke Thailand,” katanya.
Mukhriz berkata, pihaknya komited membanteras ladang ketum dan akan mendalami aspek perundangan agar tindakan kawalan dan penguatkuasaan dapat dijalankan secara bersepadu.